Kan Ku terus mengatur langkah mencari CintaMu...

Wednesday, August 3, 2011

RAHSIA PEMAKANAN BIJAK PANDAI ISLAM...

Formula pemakanan genius-genius Islam silam yang menjadi rahsia keajaiban daya intelek mereka. Formula ini terpendam di dalam kitab-kitab tradisional dalam bahasa Arab. Tersembunyi dari pengetahuan orang Arab dan umat Islam sendiri. Namun akhir-akhir ini ada usaha-usaha untuk mengetengahkan kembali kepada umum.
Sekarang semacam ada kecenderungan di kalangan ilmuan Islam dan bukan Islam untuk mengkaji dan menguji keabsahan formula ini. Ini didorong oleh penemuan – penemuan saintifik yang membuktikan kebenarannya, khususnya terhadap susu, madu dan telur. Berikut adalah formula pemakanan genius-genius Islam yang telah terbukti berupaya meningkatkan kepintaran dan kekuatan daya ingatan :

1) MADU
Madu adalah makanan yang sangat berkhasiat. Al-Quran mengiktirafkannya sebagai ” shifa ‘” iaitu penyembuh penyakit. Manisan madu digelar “Raja Ubat”, dapat menyembuh kebanyakkan penyakit. Ia adalah makanan untuk kesihatan keseluruhannya.

Ia mengandungi pelbagai jenis vitamin, mineral, protein, antiseptik dan enzim yang meningkatkan ingatan dan kecerdasan mental individu. Madu juga mengandungi pelbagai zat galian yang penting seperti kalsium, sulfur, fosforus, zat besi, karbon,magnesium, potassium (kalium), kuprum, silika, klorin,mangganese dan belerang untuk memupuk tenaga dan kesihatan fizikal-mental.

Rasullullah s.a.w bersabda, “Siapa ingin hafal, hendaklah ia minum manisan madu”. Madu didapati berkesan untuk merawati penyakit-penyakit mental di mana ia boleh menghindarkan kepenatan kerja otak seperti berfikir, membaca, merancang dan bermesyuarat.

CARA MINUM :
2 sudu teh pada waktu pagi dan malam.

PANTANG :
Jangan makan tembikai semasa menggunakan madu. Sangat merbahaya!

2) KISMIS
Mengandungi zat besi yang amat diperlukan untuk membina darah bagi memastikan bekalan oksigen yang mencukupi untuk disalurkan ke otak. Kekurangan oksigen menyebabkan seseorang mudah mengantuk, pelupa, lembab dan mengalami kelemahan dalam berfikir.

CARA MAKAN :
i) Menghadap Kiblat
ii) Baca “Bismillah” dan selawat ke atas nabi (3 kali)
iii) Baca doa penerang hati
iv) Makan secara kemam seperti makan gula-gula. Tidak berkesan
jika dikunyah seperti makan kacang.
v) Makan sebiji-biji sebanyak 21 biji setiap hari.

3) SUSU SEGAR
Susu berguna untk kesihatan otak, mempertajamkan ingatan, membekalkan tenaga mental dan fizikal. Susu mengandungi tiga unsur semulajadi iaitu keju, lemak dan air yang amat diperlukan untuk pertumbuhan badan dan otak. Susu adalah makanan yang paling lengkap dan berkhasiat. Ia mengandungi enam kelas makanan yang amat diperlukan oleh tubuh iaitu karbohidrat, lemak, protein, semua jenis vitamin, mineral dan air. Ia berkhasiat untuk merawati kesihatan umum dan merupakan penawar kelupaan yang berkesan. Rasullullah s.a.w menerangkan susu boleh menguatkan belakang, menambahi akal, memperbaiki penglihatan dan menghindari penyakit lupa. Susu yang terbaik untuk ketajaman minda ialah susu kambing, biri – biri dan lembu yang segar. Susu hidup lebih berkhasiat dari susu debu.

CARA MINUM :
i) Sekurang-kurangnya segelas pada sebelah pagi dan malam
ii) Baca “Bismillah” dan doa minum susu seperti yang dibaca oleh Rasullullah s.a.w

4) TELUR
Bermanfaat untuk menambah kekuatan otak, badan dan menjaga kesihatan keseluruhannya. Ahli-ahli kesihatan mengakui ia merupakan makanan yang lengkap dan berkhasiat. Ia mengandungi protein, mineral, vitamin, kalsium, kuprum, magnesium,
fosforus, kalium, sulfur, natrium, klorin, zat besi, air, choline dan bahan ekstraktif.

Sabda Nabi s.a.w, “Sesungguhnya seorang Nabi a.s mengadu kepada Allah (kerana dia) lemah badan. Maka Allah s.w.t memerintahkannya supaya memakan telur”. Telur
terutama telur kuning, berupaya mengatasi masalah kelemahan tenaga fizikal dan minda sekaligus. Telur yang terbaik ialah telur ayam kampung dan yang masih baru.

5) HALIA
Ianya sangat mujarab untuk gejala kelupaan. Ia boleh dimakan mentah atau dibuat halua. Halua ialah halia yang dijadikan manis – manisan dengan merebus dan mencampurkannya dengan gula.

CARA MAKAN :
Dimakan sedikit sahaja pada waktu pagi.

6) LIMAU OREN Limau kulit tebal, warna kuning pucat, kurang mengandungi asid
Berkhasiat untuk mengemaskan urat-urat jantung dan menambah kekuatan fikiran menurut hadis Nabi s.a.w. Limau-limau jenis lain juga elok untuk diamalkan.
Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda, ‘Limau ini adalah seperti mukmin: bagus dirasa dan bagus dihidu’. Limau ini menguatkan organ hati serta dapat menjauhkan kesedihan dan bintik-bintik pada kulit, menghapuskan kelaparan dan melambatkan pengaliran dalam hempedu.

7) BUAH DELIMA
Untuk penerang hati. Sabda Nabi s.a.w, “Barangsiapa yang memakan buah delima keseluruhannya, sesungguhnya Allah menerangkan hatinya selama 40 hari.”

8) DAGING BURUNG MERPATI
Ianya banyak digunakan oleh bijak pandai Islam dan Melayu dahulukala. Ia mengandungi protein, lemak, kalsium, fosforus dan kalori. Sangat efektif untuk meningkatkan kecerdasan terutama kanak – kanak. Kaedah ini sangat popular dan berkesan. Kanak – kanak yang diberi telur burung merpati didapati dapat bercakap lebih awal dari kebiasaannya.

9) DAGING AYAM
Berbanding dengan semua jenis daging, ayam dianggap mengandungi kadar zat pemakanan yang paling tinggi. Daging ayam betina dara terutamanya berkhasiat meningkatkan prestasi otak dan membaik darah. Abu Musa r.a meriawayatkan bahawa Nabi s.a.w memakan daging ayam betina. Memudahkan penghadaman serta membetulkan imbangan badan, baik untuk otak dan badan, serta mencantikkan rupa paras. Walau bagaimanapun jika dimakan terlalu banyak boleh menyebabkan penyakit sendi dan yang terbaik ialah daging ayam betina yang tidak bertelur.

10) DAGING BIRI-BIRI/KAMBING
Daging mengandungi banyak khasiat. Menambah darah, sesuai untuk orang aktif dan bekerja berat serta dapat meningkatkan kekuatan hafazan. Dikatakan bahawa orang yang memakan daging selama 40 hari berturut turut tidak akan mendatangkan kebaikan. Dan orang yang tidak memakan daging selama 40 hari berturut-turut juga tidak akan mendatangkan kebaikan.
Dengan kata lain makanlah daging secara sederhana.
Daging yang paling baik ialah daging kambing. Ianya bersifat panas dan lembab. Daging kambing yang paling baik ialah daging kambing jantan yang berumur satu hingga dua tahun. Terdapat pertelingkahan pendapat mengenai daging kuda sebagai makanan biasa. Ibnu Sina berpendapat bahawa daging unta, kuda, keldai adalah tidak baik dimakan sebagai makanan biasa. Syariat juga melarang memakan daging binatang pemangsa. Dilarang memakan daging binatang pemangsa yang kukunya mencengkam dan menyangkuk.

11) KEKACANG
Beberapa jenis kacang seperti gajus, berangan, kacang soya, pistachio
dan lain-lain. Kacang pistachio dipercayai sangat efektif untuk meningkatkan kecerdasan terutamanya kanak-kanak. Memakan kacang pistachio merupakan amalan pemakanan seorang pelajar genius berbangsa Melayu yang tinggal di Melaka.Kekacang mengandungi nilai protein yang tinggi.

12) ZA’FARAN : KOMKOMA ( CROCOS SATIVUS )
Sejenis bahan berambu merah. Dimakan sedikit sahaja. Dijual di kedai-kedai runcit India dan sesetengah kedai runcit Melayu.

13) MINYAK SAPI
Dimakan terus atau dicampurkan dengan masakan dalam kuantiti yang kecil.Minyak sapi mengandungi banyak lemak. Ia dianggap sebagai penawar racun. Campurkan dengan manisan lalu dimakan dan ianya dipercayai ubat pada makanan.

http://murnihati.kayawan.com/?p=133

Tuesday, August 2, 2011

Orang perempuan ibarat tulang rusuk yang bengkok?

"Leceh betullah orang perempuan ni. Tegur sikit dah merajuk. Kena pujuk, nasihat lembut-lembut, cakap baik-baik... hai leceh betul. Tetapi kalau dibiarkan menjadi-jadi pulak! Kita punya kerja pun dia nak langgar. Buat kerja ikut semangat, tak pandang kiri kanan lagi."

"Eh, apa yang kau ngomelkan ni Fuad? Siapa yang buat hal kali ni?"

"Staff aku si Lina tu lah. Baru tegur sikit, dah monyok. Hari ni dah tak datang kerja. Susahlah macam ni. Kerja pejabat akan terganggu."

"Entah-entah dia ada hal lain. Engkau belum siasat dah jump to conclusion."

"Alaah... orang perempuan memang macam tu. Kan Nabi pun kata yang orang perempuan tu ibarat tulang rusuk yang bengkok? Sebab dia bengkoklah orang perempuan suka buat perangai. Kita nak luruskan nanti patah pulak. Kalau dibiarkan terus, makin bengkoklah. Hai susah, susah."

"Jangan cakap macam tu, Fuad. Maksud Hadis tu bukan begitu."

"Eh, kan Hadis itu sudah lumrah diperkatakan? Apa yang tak kena pulak, Naim?"

"Maksud aku begini. Menafsirkan Hadis itu seolah-olah orang perempuan tu memang Allah ciptakan sebagai satu golongan yang "disadvantaged" atau terkurang seperti yang engkau cakapkan seolah-olah mengatakan yang Allah itu berat sebelah. Walhal Allah itu Maha Adil dan Dia ciptakan lelaki dan perempuan itu sama sahaja dari segi kemampuan mereka untuk meningkatkan iman dan menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Bengkok yang disebut di dalam Hadis itu bukan bermakna yang mereka itu sentiasa cenderung ke arah melakukan perkara-perkara yang tidak baik."

"Buktinya, apabila Rasulullah s.a.w. datang membawa ajaran Islam, baginda menaikkan taraf perempuan yang sebelum itu dianggap "golongan yang tak berguna" kepada "sayap kiri" kepada masyarakat. Beliau ada memberikan tugas-tugas yang penting kepada orang perempuan, terutama bila kaum lelaki keluar berperang. Sebagai sayap kiri, tentulah mereka diiktiraf seimbang dengan sayap kanan."

"Tapi, memang orang perempuan kuat merajuk. Jenuh kita nak layan dia."

"Merajuk bukan berlaku pada orang perempuan saja. Orang lelaki juga kuat merajuk. Mungkin cara merajuk atau cara `protes` tu yang tak sama. Punca merajuk sebab iman lemah, bukan sebab jantina. "Lagipun, apa salahnya kalau kita tegur orang perempuan dengan berlemah-lembut dan berhikmah. Bukankah begitu tuntutan Islam. Kalau kita marah-marah sehingga mereka merajuk, bukan mereka yang salah, tetapi kitalah yang salah. Entah-entah waktu itu kita lebih`bengkok` daripada mereka!"

"Eh, eh engkau ni. Asyik nak bela orang perempuan aje."

"Aku bukannya nak bela siapa-siapa. Aku cuma nak betulkan pemahaman yang tidak betul terhadap Hadis tu."

"Apa maksud sebenar Hadis tu?"

"Orang perempun yang diibaratkan seperti tulang rusuk yang bengkok itu bukan bermakna satu kekurangan, tapi sebenarnya adalah satu "penyempurnaan" . Sepertimana juga usus manusia yang berlipat-lipat dan berlingkaran itu bukanlah satu ketidakbetulan tetapi begitulah keadaan usus yang sempurna. Bengkoknya tulang rusuk itu kerana ia bersifat `pelindung`. Ia melindungi organ-organ penting di dalam tubuh manusia seperti jantung, paru-paru, hati dan limpa. Kalau tulang kakilah yang diletakkan di dada manusia, sudah tentu ia tidak dapat berperanan sepertimana tulang rusuk yang bengkok itu."

"Oh begitu. Jadi bila Nabi katakan yang orang perempuan itu seperti tulang rusuk yang bengkok, beliau hanyalah hendak memperlihatkan perbezaan peranan mereka berbanding lelaki?"

"Begitulah. Selain itu, maksud `tulang rusuk yang bengkok` itu ialah sifat `rahmah`. Orang perempuan itu sifat semulajadinya penyayang. Perasaannya halus. Kerana adanya sifat-sifat itu, orang perempuan boleh sabar menjaga dan melayan anak-anaknya yang berbagai kerenah. Mereka juga sabar dan tekun melakukan kerja-kerja rumah yang mungkin kepada kita sangat membosankan. "

"Begitu jugalah di dalam masyarakat, orang perempuan sangat sesuai menjadi guru, jururawat, dan apa juga bidang yang dalam kemampuannya. Oleh itu jangan cuba buang sifat "bengkok" ini daripada orang perempuan dengan memberikan mereka tugas-tugas yang tidak sesuai. Kalau tulang rusuk sudah patah, organ-organ yang penting tadi tidak akan selamat."

"Jadi peranan mereka sebenarnya penting. Bayangkanlah betapa besar peranan dan jasa ibu yang menjaga dan mengasuh kita dari kecil hinggalah besar."

"Hmm, betul tu Naim."

"Sebenarnya tiada siapa yang `bengkok` mengikut tafsiran yang engkau gunakan. Bengkok atau tidaknya seorang lelaki atau perempuan itu bergantung kepada iman dan akhlaknya. Orang lelaki kalau tidak berusaha untuk membuang sifat-sifat yang terkeji di dalam dirinya pun akan jadi bengkok juga, malah lebih bengkok dari orang perempuan yang ada usaha membaiki dirinya."

"Baru aku sedar, akulah yang bengkok. Asyik marah-marah dan tidak sabar."

"Memang tidak sepatutnya kita lihat orang lain itu lebih `bengkok` daripada kita. Sebaliknya kita patut sentiasa merasakan yang kitalah yang lebih `bengkok` daripada semua orang lain di muka bumi ini... "


*Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah menyakiti jirannya dan hendaklah dia menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana sesungguhnya mereka diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok ialah yang paling atas, jika kamu berusaha untuk membetulkannya kamu akan mematahkannya, jika kamu terus biarkan begitu ia akan terus bengkok. Oleh itu terimalah pesanan supaya menjaga wanita-wanita dengan baik. (Hadis riwayat al-Bukhari no: 4890)

Tuesday, July 19, 2011

Perbualan Antara Rasulullah S.A.W Dengan Iblis...

Telah diceritakan bahawa Allah S.W.T telah menyuruh iblis datang kepada Nabi Muhammad s.a.w agar menjawab segala pertanyaan yang baginda tanyakan padanya. Pada suatu hari Iblis pun datang kepada baginda dengan menyerupai orang tua yang baik lagi bersih, sedang ditangannya memegang tongkat.

Bertanya Rasulullah s.a.w, "Siapakah kamu ini ?"
Orang tua itu menjawab, "Aku adalah iblis."
"Apa maksud kamu datang berjumpa aku ?" Orang tua itu menjawab,
"Allah menyuruhku datang kepadamu agar kau bertanyakan kepadaku."
Baginda Rasulullah s.a.w lalu bertanya,
"Hai iblis, berapa banyakkah musuhmu dari kalangan umat-umatku ?" Iblis menjawab, "Lima belas."

1. Engkau sendiri hai Muhammad.
2. Imam dan pemimpin yang adil.
3. Orang kaya yang merendah diri.
4. Pedagang yang jujur dan amanah.
5. Orang alim yang mengerjakan solat dengan khusyuk.
6. Orang Mukmin yang memberi nasihat.
7. Orang yang Mukmin yang berkasih-sayang.
8. Orang yang tetap dan cepat bertaubat.
9. Orang yang menjauhkan diri dari segala yang haram.
10. Orang Mukmin yang selalu dalam keadaan suci.
11. Orang Mukmin yang banyak bersedekah dan berderma.
12. Orang Mukmin yang baik budi dan akhlaknya.
13. Orang Mukmin yang bermanfaat kepada orang.
14. Orang yang hafal al-Qur'an serta selalu membacanya.
15. Orang yang berdiri melakukan solat di waktu malam sedang orang-orang lain semuanya tidur.

Kemudian Rasulullah s.a.w bertanya lagi, "Berapa banyakkah temanmu di kalangan umatku ?" Jawab iblis, "Sepuluh golongan :-
1. Hakim yang tidak adil.
2. Orang kaya yang sombong.
3. Pedagang yang khianat.
4. Orang pemabuk/peminum arak.
5. Orang yang memutuskan tali persaudaraan.
6. Pemilik harta riba'.
7. Pemakan harta anak yatim.
8. Orang yang selalu lengah dalam mengerjakan solat/sering meninggalkan solat.
9. Orang yang enggan memberikan zakat/kedekut.
10. Orang yang selalu berangan-angan dan khayal dengan tidak ada faedah.

Mereka semua itu adalah sahabat-sahabatku yang setia."

Itulah di antara perbualan Nabi dan iblis. Sememangnya kita maklum bahawa sesungguhnya Iblis itu adalah musuh Allah dan manusia. Dari itu hendaklah kita selalu berhati-hati jangan sampai kita menjadi kawan iblis, kerana sesiapa yang menjadi kawan iblis bermakna menjadi musuh Allah. Demikianlah sebaliknya, sesiapa yang menjadi musuh iblis bererti menjadi kawan kekasih Allah

Peristiwa Israk Mikraj – Perjalanan Nabi Muhammad Bertemu Allah...

KEMBALI meneruskan peristiwa penuh bersejarah dengan menyingkap pula perjalanan Mikraj Rasulullah s.a.w di mana Baginda naik ke Hadratul Qudus menemui Allah s.w.t.

Pada masa ini, didatangkan kepada Baginda sebuah Mikraj yakni tangga yang indah dari syurga. Rasulullah dan Jibril naik ke atas tangga pertama lalu terangkatlah pintu langit dunia (pintu Hafzhah). Setiap kali Baginda bertemu dengan para nabi, perkataan pertama yang diucapkan ialah assalamualaikum. Ini menunjukkan bahawa pentingnya dan mulianya ucapan salam yang sering kita ucapkan sehari-hari dan kita perlu sentiasa mengamalkan budaya memberi salam sebagai mendoakan kesejahteraan sesama kita. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Berilah makan dan sebarkanlah salam (dengan ucapan assalamualaikum ), nescaya kalian akan mewarisi syurga.” Antara peristiwa yang berlaku di setiap tangga yang dinaiki Rasulullah ialah: Langit pertama: Rasulullah dan Jibril masuk ke langit pertama lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian dapat melihat orang yang makan riba dan harta anak yatim serta melihat orang berzina dengan rupa dan kelakuan yang sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung kepada susu penzina perempuan.

Langit kedua: Nabi Muhammad dan Jibril naik tangga langit kedua lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa dan Nabi Yahya a.s.

Langit ketiga: Naik tangga langit ketiga dan bertemu Nabi Yusuf a.s.

Langit keempat: Naik tangga langit keempat lalu bertemu Nabi Idris a.s.

Langit kelima: Naik tangga langit kelima dan bertemu Nabi Harun a.s yang dikelilingi kaumnya Bani Israel.

Langit keenam: Naik tangga langit keenam dan bertemu dengan para nabi. Seterusnya bertemu Nabi Musa a.s. Baginda disuruh mengangkat kepalanya lalu dapat melihat umat Baginda sendiri yang ramai termasuk 70,000 orang masuk syurga tanpa hisab.

Langit ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu Nabi Ibrahim a.s sedang bersandar pada Baitul Makmur sambil dihadapi kaumnya. Kepada Rasulullah, Nabi Ibrahim bersabda: “Engkau akan berjumpa Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu daif, maka berdoalah untuk umatmu. “Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu Subhanallah Walhamdulillah Walailahaillahlah Allahuakbar dan Walahaulawalaquwataillabillahi’aliyul’adzim. “Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga.” Selepas itu Baginda masuk ke dalam Baitul Makmur lalu solat. Baitul Makmur terletak betul-betul di atas Baitullah dan adalah tempat malaikat bertawaf.

Tangga kelapan: Di sinilah disebut ‘al-kursi’ yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul Muntaha. Rasulullah menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu.

Sungai yang airnya tidak berubah, sungai susu, sungai arak, sungai madu serta buah, daun dan dahan yang berubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan dan semua keindahan yang tak terperi oleh manusia. Baginda juga dapat melihat air sungai Kauthar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta penunggunya, Malik.

Tangga kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk Sidratul Muntaha. Rasulullah w masuk dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib dalam nur ‘arasy iaitu lelaki dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Tangga kesepuluh: Baginda sampai ke Hadratul Qudus dan Hadrat Rabbul Arbab lalu dapat menyaksikan Allah dengan mata kepala Baginda, lantas sujud. Di sinilah Allah memfardukan solat 50 waktu kepada Baginda. Selesai munajat, Rasulullah dibawa menemui Nabi Ibrahim kemudian Nabi Musa.
Nabi Musa bertanya: “Apakah yang difardukan Allah kepada kamu untuk umatmu?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Solat 50 kali sehari.” Nabi Musa kemudian berkata: “Kembalilah menghadap Tuhanmu dan mintalah pengurangan. Sesungguhnya umatmu tidak akan mampu melakukan hal itu.” Lalu Baginda pun berulang alik sebanyak sembilan kali sehingga Allah berkenan mengurangkan waktu solat menjadi lima kali sehari semalam dengan mengekalkan nilai pahala bersamaan solat 50 kali.

Selepas Mikraj, Rasulullah turun ke langit dunia semula seterusnya ke Baitulmaqdis. Kemudian dengan menaiki Buraq, Baginda tiba di Masjidil Haram pada malam yang sama. Baginda menceritakan perjalanan itu kepada kaum Baginda, tetapi mereka menuduh Rasulullah berdusta kerana mana mungkin Baginda dapat sampai ke tempat-tempat tersebut dalam masa yang singkat sedang manusia biasa memakan masa yang lama untuk ke sana. Hanya Saidina Abu Bakar sahaja yang membenarkan kata-kata Baginda lalu beliau diberi gelaran As-Siddiq yang bermaksud ‘yang membenarkan.’ Peristiwa Israk Mikraj memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran dan seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati dan takut kepada kekuasaan.

Thursday, June 30, 2011

Malaikat Kecil...

“Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu dan menyebarkan risalah bertajuk “Jalan-jalan Syurga” dan beberapa karya Islamik yang lain.


Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun. Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata “Ayah! Saya dah bersedia” Ayahnya terkejut dan berkata “Bersedia untuk apa?”. “Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah” ”Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat” ”Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun” Ayahnya menambah “Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini” Dengan merintih anaknya merayu “Benarkan saya pergi ayah?” Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya “Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!” ”Terima kasih Ayah”


Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu. Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada penghuninya. Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah “Jalan-jalan Syurga” ada pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal. Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali.

Ditunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka. Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an. Mukanya suram dan sedih. “Nak, apa yang makcik boleh bantu?” Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit. “Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling bertuah”. Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi. ”Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu” dalam nada yang lembut Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya “Ada sesiapa nak menyatakan sesuatu” Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah perempuan separuh umur itu. “Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya.


Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim.Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan dalam dunia ini” Air mata mulai bergenang di kelopak matanya. ”Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi”. ”Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini setelah sekian lama.


Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu” ”Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu. Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat”. “Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik” itulah kata-kata yang paling indah yang saya dengar”. ”Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu dan terus baca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka. Aku tak perlukan itu lagi”.


“Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada selama-lamanya di dalam neraka” Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR! Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya. Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat. Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada makhlukNya yang penyayang. Panjangkanlah risalah ini.


Ingat ALLAH sentiasa menyayangi dan memelihara kamu!
ALLAHUAKBAR!


Wassallam

Friday, April 22, 2011

ANDAINYA LELAKI TAHU...

Andainya lelaki tahu..
Apabila seorang perempuan jatuh cinta,
lelaki itu tidak semestinya punya segalanya
tetapi lelaki itu adalah segalanya di hatinya.


Andainya lelaki tahu..
Apabila seorang perempuan itu mengalirkan air mata,
itu bukan bermakna dia lemah,
tetapi dia sedang mencari kekuatan
untuk terus tabah menyintai lelaki itu.


Andainya lelaki tahu..
Apabila seorang perempuan marah,
memang dia tidak mampu mengawal perasaannya
tapi percayalah, itulah maknanya
dia sangat mengambil berat dan menyayangi lelaki itu.


Lihat saja pasangan yang baru bercinta, mereka jarang bergaduh.
Tetapi percayalah semakin bertambah sayang mereka pada seseorang,
semakin pula banyak pertelingkahan yang berlaku.


Andainya lelaki tahu..
Apabila perempuan bercakap banyak,
dia tidak pernah bermaksud untuk membuat anda rimas,
tapi dia mahu lelaki mengenalinya dengan lebih dekat.


Andainya lelaki tahu..
Apabila perempuan berkata dia mahu anda berubah,
itu bukan bermakna dia tidak mahu menerima anda seadanya,
tetapi dia mahu menjadikan anda lebih baik,
bukan untuk dirinya,
tetapi untuk masa depan anda.


Andai lelaki tahu..
Apabila perempuan cemburu dan tidak percayakan anda,
bukan bermakna dia tidak sayang..
tetapi dia terlalu sayangkan anda
dan masih menganggap anda anak kecil
yang masih memerlukan sepenuh perhatian.


Kadang2 dia terlalu risau sekiranya terlalu percaya,
anda akan mengkhianati kepercayaan yang diberi.
Naluri keibuannya sangat kuat.
Dia hanya mahukan yang terbaik untuk anda.


Andai lelaki tahu..
Apabila perempuan merajuk,
jangan kata dia mengada-ngada.
Dia bukannya mahu dipujuk dengan wang ringgit
atau hadiah sedozen,
tetapi cukup dengan perhatian
yang boleh buat perempuan rasa dihargai.


Andai lelaki tahu..
Apabila perempuan jarang mengatakan ‘i love u’,
itu tidak bermaksud dia tidak menyintai
tetapi dia mahu lelaki itu merasai sendiri cintanya,
bukan hanya hadir dari kata-kata
tetapi juga melalui bahasa tubuhnya.


Andai lelaki tahu..
Apabila perempuan kata dia rindu sama kamu,
dia benar-benar maksudkannya.
Apabila berjauhan, bayanganmu akan sentiasa bermain di mata.


Andai lelaki tahu..
Apabila perempuan kata lelaki lain itu lebih baik dari kamu,
jangan percaya kata-katanya
kerana dia hanya mahu menguji kamu.
Dia mahu melihat sejauh mana kamu sanggup menjadi yang terbaik di matanya.
Walaupun sebenarnya memang kamulah yang terbaik di hatinya.


Selagi dia dengan kamu, percayalah,
walaupun perempuan menganggap masih ramai lagi yang lebih baik di matanya
tetapi di hatinya, kamu tetap yang terbaik.


Andai lelaki tahu..
Apabila perempuan menjadi degil,
dia bukan bermaksud untuk menjadi degil
tapi dia mahu melihat
sejauh mana lelaki itu mampu bersabar dengan kerenahnya.


Percayalah, hati perempuan itu sangat lembut.
Andai kena caranya,
jangan terkejut kalau akhirnya dia menukar fikirannya dalam masa sesaat.


Andai lelaki tahu..
Apabila perempuan berkata,
“tolong tinggalkan saya!”,
dia tidak bermaksud menyuruh anda pergi selamanya.
Dia hanya mahu menenangkan fikirannya sebentar saja.


Apabila dia kembali tenang,
percayalah dia akan mencari anda semula.
Itu tandanya dia benar-benar menyintai anda.
Perempuan sukar untuk mengawal perasaan.
Dia terlalu emosional.
Tapi dialah yang paling menyayangi anda
dan sangat sensitif dengan perubahan pada diri anda.


Andai lelaki tahu..
Sememangnya Allah menciptakan lelaki dan perempuan itu
dengan perbezaan yang tersendiri.
Tetapi sekiranya mereka saling memahami,
mereka akan saling melengkapi dan menyempurnakan.


Perempuan itu diciptakan oleh Allah indah sekali.
Di sebalik air matanya,
tersimpan seribu satu kekuatan
yang bakal menjadikan seorang lelaki itu merasa selamat bersamanya.


Biarpun zahirnya perempuan itu tampak lemah
tapi dia punya kekuatan tersendiri
yang bisa menggoncang dunia
dan mungkin bisa pula membuat lelaki menjadi lemah kerananya.


Jadi hargailah kehadiran seorang perempuan dalam hidup anda
kerana dia didatangkan bukan dengan kelemahan sahaja
tetapi dia juga ada kekuatan untuk menyokong anda
dan membuatkan hidup anda lebih sempurna.
Dialah yang bakal menjadi perempuan bekerjaya, isteri juga ibu
yang terbaik untuk anak2 anda.

Wednesday, March 30, 2011

Mengapa mengeluh...

Kita selalu bertanya dan Quran sudah menjawabnya.

Kita bertanya: Kenapa aku diuji?
Quran menjawab , “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan ,” Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka , maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar , dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta.”
Surah al-Ankabut , ayat 2-3.

Kita bertanya : Kenapa aku tak dapat apa yang aku idam-idamkan?
Quran menjawab ,” Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu , padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”
Surah al-Baqarah , ayat 216.

Kita bertanya : Kenapa ujian seberat ini?
Quran menjawab ,” Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
Surah al-Baqarah, ayat 286.

Kita bertanya : Kenapa kita rasa frust?
Quran menjawab ,” Janganlah kamu bersikap lemah , dan janganlah pula kamu bersedih hati , padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya , jika kamu orang-orang yang beriman.
“Surah Ali Imran , ayat 139.

Kita bertanya : Bagaimana harus aku menghadapinya?
Quran menjawab ,” Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang , dan sesungguhnya sembahyang itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.”
Surah al-Baqarah ayat 45.

Kita bertanya : Kepada siapa aku berharap?
Quran menjawab,” Cukuplah Allah bagiku , tidak ada Tuhan selain daripadanya. Hanya kepadanya aku bertawakal .”
Surah at-Taubah, ayat 129.

Kita bertanya : Apa yang aku dapat daripada semua ujian ini?
Quran menjawab ,” Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin , diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.”
Surah at-Taubah , ayat 111.

Kita berkata : Aku tak tahan!
Quran menjawab ,”....dan janganlah kamu ber putus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.”
Surah Yusuf , ayat 12.

Kita berkata: Sampai bila aku akan merana begini
Quran menjawab,” Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. “
Surah al-Insyirah, ayat 5-6.

Sudah! Jangan mengeluh lagi. Pergi baca Quran.