Kan Ku terus mengatur langkah mencari CintaMu...

Tuesday, September 21, 2010

Cerita Burung Camar


Syamir sungguh gembira. Sudah bertahun-tahun lamanya Syamir tidak melihat laut. Hari ini laut biru terbentang luas di hadapannya. Syamir mengikut ayahnya Encik Megat berkursus di Amerika Syarikat, dan mereka berdua mengambil kesempatan melihat keindahan pantai Nantucket. Nantucket merupakan sebuah pulau yang terletak kira-kira 30 kilometer di luar pantai Massachusetts. Burung-burung kecil bersayap tajam, mempunyai ekor yang bercabang, kepala yang hitam dan bulu badan yang kelabu putih memenuhi pantai dan ruang udara. Paruh dan kaki burung ini kelihatan berwarna kuning.

“Ayah, burung apa tu?” tanya Syamir.

“Itulah burung camar,” jawab Encik Megat. “Pantai ini memang terkenal sebagai tempat persinggahan camar yang berhijrah dari selatan setiap kali musim bunga tiba. Burung-burung ini bukan sekadar mencari makan di sini, tetapi di sinilah tempat untuk mereka bertelur dan menetaskan anak-anak mereka.”

Syamir dan ayahnya sungguh terpesona melihat kumpulan camar melayang di udara dengan lincah dan bentuk pergerakan yang sungguh cantik. Burung-burung itu kemudian menjunam ke permukaan air lalu menyambar ikan-ikan kecil yang berenang di permukaan air laut.

Ombak laut menyimbah ke pantai. Matahari mulai bersinar terik.

“Ayah, di mana burung-burung ni berteduh semasa matahari bersinar terik?” tanya Syamir kepada ayahnya.

Encik Megat menggeleng. “Burung-burung itu tidak berteduh di mana-mana, Syamir. Sama ada panas terik atau hujan ribut, burung-burung itu tetap berada di situ,” Encik Megat menjelaskan.

“Allah sudah menyediakan pada diri burung-burung itu cara-cara untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semulajadi yang ekstrim. Yang menjadi masalah ialah mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan kehadiran manusia di sini. Habitat mereka terancam apabila manusia membina pembangunan. Telur-telur mereka musnah sehingga burung ini dikategorikan sebagai haiwan yang terancam,” jelas Encik Megat lagi.

“Di mana sarang mereka ayah? Syamir tak nampak apa-apa,” kata Syamir.

“Mereka tidak membuat sarang seperti yang biasa dibuat oleh burung-burung lain. Sarang camar hanya merupakan sebuah lubang kecil atau cakaran yang dibuat di atas pasir. Biasanya camar betina akan mengeluarkan satu hingga tiga telur dan telur-telur itu ditutup dengan serpihan cengkerang. Camar betina dan jantan akan bekerjasama mengeramkan telur-telur itu bagi melindunginya dari suhu sejuk malam hari dan panas terik siang hari.”

Syamir mengangguk-angguk. Hatinya puas kerana mendapat pengetahuan baru. Jika selama ini Syamir hanya mendengar tentang camar yang disebut dalam lagu, tapi hari ini Syamir melihat sendiri rupa camar dan tahu serba sedikit tentang haiwan ini.

Syamir bergerak semakin dekat dengan kumpulan camar di tepi pantai itu. Ayah Syamir memberi amaran supaya Syamir tidak pergi terlalu dekat kerana camar akan melepaskan tahinya ke atas pemangsa yang memasuki kawasan mereka.

Hampir dua jam Syamir dan Encik Megat menghabiskan masa di pantai itu. Mereka mengucap puji-pujian kepada Allah yang mencipta alam yang indah dan segala makhluk di dalamnya.

Dalam perjalanan pulang, Encik Megat bercerita lagi tentang camar.

“Cuba Syamir teka, bilakah camar-camar itu akan meninggalkan pantai ini?” Encik Megat menduga anaknya.

“Mungkin ketika anak-anaknya sudah dapat terbang,” jawab Syamir.

Encik Megat mengangguk dan senyum. “Ya Syamir. Biasanya mereka meninggalkan pantai ini pada akhir bulan ogos untuk kembali ke tempat mereka di selatan. Ketika itu anak-anak mereka sudah kuat dan mampu terbang jauh. Musim bunga akan datang, burung-burung itu akan kembali lagi ke sini. Begitulah yang dilakukan sepanjang hidup mereka,” kata Encik Megat.

Syamir menyandarkan tubuhnya di tempat duduk kereta. Matanya dipejamkan. Namun dia tetap melihat burung-burung camar melayang-layang dengan cantik di udara dan telinganya seolah-olah mendengar bunyi kip-kip-kip si burung camar. Syamir tahu, apabila pulang ke Malaysia nanti dia pasti akan merindui si burung camar.

http://bacalah-sayang.blogspot.com/2009/01/burung-camar.html

No comments:

Post a Comment