Kan Ku terus mengatur langkah mencari CintaMu...

Thursday, November 11, 2010

Kelebihan Bulan Zulhijjah Sepuluh Hari Pertama



Segala kepujian dan kesyukuran ditujukan kepada Allah Ta’ala, Salawat dan Salam buat Junjungan Nabi Muhammad ‘Alaihis Solatu was Salam dan buat keluarga dan Sahabat Baginda.
Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhia Allah ‘anhuma bahawa Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :
“Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu sepuluh hari Zulhijjah-”. Para Sahabat Baginda bertanya : “Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah ?” . Ujar Baginda : “Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun”.
Imam Ahmad Rahimahullah meriwayatkan dari Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma bahawa Baginda Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”.
Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir Radhia Allah ‘anhu bahawa Baginda Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Seutama-utama hari adalah hari ‘Arafah”.


JENIS AMALAN YANG DIANJURKAN PADANYA.


Pertama : Menunaikan ibadah haji dan ‘umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadith yang menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam : “Satu ‘umrah ke ‘umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga”.

Kedua : Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari ‘Arafah - . Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ianya adalah pilihan Allah Ta’ala sendiri sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith qudsi : “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”. Dari Abu Sa’id al Khudri Radhia Allah ‘anhu berkata : ‘Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Tiada seorangpun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan Allah menjauhkan dengan puasanya itu mukanya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun” (muttafaq ‘alaih). Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi Qatadah Radhia Allah ‘anhu bahawa Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”.

Ketiga : Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum)”, hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari di bulan Zulhijjah. Oleh kerana itulah para ‘Ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadith Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Rahimahullah, di antaranya : “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”. Imam Al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah Radhia Allah ‘anhum kedua mereka pada hari-hari tersebut selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai. Imam Ishaq Rahimahullah meriwayatkan bahawa para Fuqaha’ (ahli feqah) di kalangan Tabi’in (generasi selepas Sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari-hari itu “[Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu]”. Adalah amat digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir di pasar, rumah, jalan, masjid dan selainnya berdasarkan firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “( Dan supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah di atas ni’matNya menghidayat kamu)”. Dibolehkan juga pada hari-hari tersebut berzikir dengan apa-apa zikir yang lain dan segala do’a yang baik.


Keempat : Bertaubat dan meninggalkan segala ma’siat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana ma’siat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Di dalam sebuah hadith yang diriwatkan oleh Abu Harairah Radhia Allah ‘anhu, Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hambaNya melakukan perkara yang ditegahNya” (muttafaq ‘alaihi).

Kelima : Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, mebaca al Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut. Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun ia kecil tetapi ianya lebih disukai oleh Allah Ta’ala jika dibandingkan pada hari-hari lain, begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikatogerikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

Keenam : Disyari’atkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah.

Ketujuh : Disyari’atkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihis Solatu was Salam setelah Allah Ta’ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail ‘Alaihis Solatu was Salam tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

Kelapan : Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah Radhia Allah ‘anha bahawa Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”, dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”. Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala, maksudnya : “(Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu sampai ke tempatnya)”. Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

Kesembilan : Setiap muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari raya secara berjamaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah dia mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini ; ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan, janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan ma’siat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan-amalan kebaikan yang telah dikerjakannya sebelum itu.


Kesepuluh : Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintahNya, menjauhi laranganNya, mendekatkan diri kepadaNya semoga mendapat rahmat dan keampunanNya.

Monday, November 8, 2010

Zulhijjah...

Bulan Zulhijjah 

Bulan Zulhijjah adalah bulan haji, maka ibadat haji adalah menjadi keutamaan dikerjakan di bulan ini. Bagi yang mengerjakan haji, kita doakan mereka pergi dan kembali dalam keadaan selamat. Moga ibadah haji mereka akan diterima Allah SWT. 

Bagi yang masih belum berkesempatan dan belum berkemampuan, bersabarlah dan sentiasalah memasang cita-cita untuk ke Makkah di tahun akan datang, InsyaAllah. Pada 10 Zulhijjah, seluruh umat Islam akan menyambut Hari Raya Haji atau disebut juga dengan Hari Raya Korban dalam bahasa Arabnya Idul Adha. Kita disunatkan bersolat sunnat 'Id di pagi harinya dan disunnatkan menyembelih binatang ternak yang berkaki empat (unta, lembu atau kambing). 

Pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah adalah dikenali dengan Hari Taysrik yang mana korban masih disunnatkan lagi dilakukan. Disunatkan juga kita bertakbir setiap masa khasnya selepas solat pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah tersebut dan diharamkan kita berpuasa padanya.

Peristiwa Bulan Zulhijjah

Sejarah telah merakam berbagai peristiwa yang berlaku di bulan Zulhijjah. Umat Islam telah melalui berbagai pengalaman suka, duka, senang, susah, menang, kalah, untung dan rugi di bulan ini. Berikut adalah diantara peristiwa penting yang pernah tercatat di bulan Zulhijjah; 

1. Penyembelihan Nabi Ismail AS. Nabi Ibrahim AS yang mendapat gelaran Rasul Ulul A'zmi sekali lagi membuktikan kepatuhannya terhadap perintah Allah SWT untuk menyembelih anaknya, Ismail AS. Ismail AS juga dengan penuh ketaatan bersedia untuk disembelih oleh ayahnya tanpa ada bantahan. Lambang kepatuhan dua beranak ini telah diabadikan menjadi syiar Islam (sembelihan). Umat Islam samaada yang berada di Makkah ataupun di mana-mana disunatkan untuk berkorban menyembelih samaada unta, lembu, atau kambing pada 10, 11, 12 atau 13 Zulhijjah. 

2. Baiatul Aqabah. Pada tahun ketiga belas selepas perlantikan Baginda SAW menjadi nabi, berlakulah peristiwa Baiatul Aqabah (perjanjian setia Aqabah), ianya disertai oleh 73 orang lelaki dan 2 orang perempuan dari kaum Aus dan Khazraj. Mereka telah berjanji akan terus setia mempertahan, menolong dan menyebarkan ajaran Rasulullah SAW kepada penduduk Yatsrib (Madhinah). Sebenarnya Baiatul Aqabah adalah pembuka kunci kepada penghijrahan nabi SAW ke Madhinah. Nabi sudah menyediakan pendokong-pendokongnya terlebih dahulu di Madhinah sebelum berhijrah. Maha suci Allah yang telah mengatur dan menolong kekasihnya (Rasulullah SAW). 

3. Hajjatul Wida' (Haji Selamat Tinggal) Rasulullah SAW hanya sempat mengerjakan haji sebanyak sekali sahaja seumur hidupnya. Pada tahun kesepuluh Hijrah, Nabi saw mengerjakan 'ibadah Haji yang dikenali dengan Hajjatul Wida'. Pada peristiwa Hajjatul Wida' itu, baginda SAW menyampaikan khutbah terakhirnya (Khutbatul Wida') yang mana amanat-amanatnya yang kesemuanya adalah intipati peraturan dan aturcara kehidupan di dalam Islam.
4. Umar RA meninggal dunia,Uthman RA dilantik. Umar adalah khalifah ke dua selepas Abu Bakar RA. Beliau adalah sahabat rapat Rasulullah SAW dan terkenal dengan sifat tegas dan cerdik sehingga digelar dengan Umar Al-Faruk (pembeza). Pada tahun 23 Hijrah, Amir Al Mu'minin Umar bin Al Khattab meninggal dunia dibunuh oleh Abu Lu'luah Al Majusi. Dengan itu urusan kepimpinan negara bertukar kepada Saidina Uthman RA. Perlantikan Uthman bin 'Affan sebagai khalifah yang dipilih sebulat suara oleh sebuah majlis mesyuarat Syura yang telah ditubuhkan oleh Umar bin Al Khattab sebelum kematiannya. 

5. Ali RA menjadi khalifah yang keempat. Setelah berlaku kontraversi tentang pembunuhan Uthman RA, urusan kepimpinan kerajaan diterajui pula oleh Saidina Ali RA. Perlantikan Ali bin Abi Talib sebagai khalifah menggantikan Uthman bin Affan pada tahun 35 Hijrah. Dan akhirnya Ali juga di bunuh oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan kepimpinannya.

Renungan Zulhijjah

" KHUTBAH TERAKHIR DARI NABI MUHAMMAD SAW "
(Khutbah ini disampaikan pada 9hb Zulhijjah 10H di Lembah Uranah, Gunung Arafah)* 

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu selepas ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikan ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini. Wahai manusia, seperti mana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai amanah suci. kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. 

Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba adalah dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil. 

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina. Wahai manusia, dengarlah kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah 'Ibadah haji' sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap muslimin adalah saudara kepada muslimin yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lain kecuali dalam taqwa dan beramal soleh. 

Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari nanti untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku. 

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hambaMu..

Orang kata aku lahir dari perut mak..

Orang kata aku lahir dari perut mak..
(bukan org kata...memang betul) 

Bila dahaga, yang susukan aku....mak
Bila lapar, yang suapkan aku....mak
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku.. ..mak
Kata mak, perkataan pertama yang aku sebut....Mak
Bila bangun tidur, aku cari....mak
Bila nangis, orang pertama yang datang ....mak
Bila nak bermanja, aku dekati....mak
Bila nak bergesel, aku duduk sebelah....mak
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya....mak
Bila nakal, yang memarahi aku....mak
Bila merajuk, yang memujukku cuma....mak
Bila melakukan kesalahan, yang paling cepat marah.....mak
Bila takut, yang tenangkan aku....mak
Bila nak peluk, yang aku suka peluk....mak
Aku selalu teringatkan ....mak
Bila sedih, aku mesti talipon....mak
Bila seronok, orang pertama aku nak beritahu......mak
Bila bengang.. aku suka luah pada..mak
Bila takut, aku selalu panggil... "mmaaakkkk! "
Bila sakit, orang paling risau adalah....mak
Bila nak exam, orang paling sibuk juga....mak
Bila buat hal, yang marah aku dulu....mak
Bila ada masalah, yang paling risau.... mak
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni.. mak
Yang selalu masak makanan kegemaranku....mak
kalau balik ke kampung, yang selalu bekalkan ulam & lauk pauk......mak
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku....mak
Yang selalu berleter kat aku...mak
Yang selalu puji aku....mak
Yang selalu nasihat aku....mak
Bila nak kahwin..Orang pertama aku tunjuk dan rujuk......mak

Aku ada pasangan hidup sendiri....

Bila seronok, aku cari.......pasanganku
Bila sedih, aku cari........mak

Bila berjaya, aku ceritakan pada....pasanganku
Bila gagal, aku ceritakan pada....mak

Bila bahagia, aku peluk erat....pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat....emakku

Bila nak bercuti, aku bawa....pasanganku
Bila sibuk, aku hantar anak ke rumah.....mak

Bila sambut valentine... Aku bagi hadiah pada pasanganku
Bila sambut hari ibu...aku cuma dapat ucapkan "Selamat Hari Ibu"

Selalu.. aku ingat pasanganku
Selalu.. mak ingat kat aku

Bila-bila... aku akan talipon pasanganku
Entah bila... aku nak talipon mak

Selalu....aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila... aku nak belikan hadiah untuk emak

Renungkan:
"Kalau kau sudah habis belajar dan berkerja... bolehkah kau kirim wang
untuk mak?
mak bukan nak banyak... lima puluh ringgit sebulan pun cukuplah"...
Berderai air mata jika kita mendengarnya........

Tapi kalau mak sudah tiada..........
MAKKKKK...RINDU MAK..... RINDU SANGAT.....


Berapa ramai yang sanggup menyuapkan ibunya.....
berapa ramai yang sanggup mencuci muntah ibunya.....
berapa ramai yang sanggup mengantikan lampin ibunya......
berapa ramai yang sanggup membersihkan najis ibunya.......
berapa ramai yang sanggup membuang ulat dan membersihkan luka kudis
ibunya....
berapa ramai yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibunya.....

dan akhir sekali berapa ramai yang sembahyang JENAZAH ibunya.......

Seorang anak mendapatkan ibunya yang sedang sibuk menyediakan makan malam
di dapur lalu menghulurkan sekeping kertas yang bertulis sesuatu. Si ibu
segera mengesatkan tangan di apron menyambut kertas yang dihulurkan oleh
si anak lalu membacanya.Kos upah membantu ibu:
1) Tolong pergi kedai : RM4.00
2) Tolong jaga adik : RM4..00
3) Tolong buang sampah : RM1.00
4) Tolong kemas bilik : RM2.00
5) Tolong siram bunga : RM3.00
6) Tolong sapu sampah : RM3.00
Jumlah : RM17.00

Selesai membaca, si ibu tersenyum memandang si anak sambil sesuatu
berlegar-legar si mindanya. Si ibu mencapai sebatang pen dan menulis
sesuatu di belakang kertas yang sama.
1) Kos mengandungkanmu selama 9 bulan - PERCUMA
2) Kos berjaga malam kerana menjagamu - PERCUMA
3) Kos air mata yang menitis keranamu - PERCUMA
4) Kos kerunsingan kerana bimbangkanmu - PERCUMA
5) Kos menyediakan makan minum, pakaian, dan keperluanmu -PERCUMA
Jumlah Keseluruhan Nilai Kasihku - PERCUMA

Air mata si anak berlinang setelah membaca apa yang dituliskan oleh siibu.
Si anak menatap wajah ibu,memeluknya dan berkata,
"Saya Sayangkan Ibu". Kemudian si anak mengambil pen dan menulis "Telah
Dibayar" pada mukasurat yang sama ditulisnya.

Wednesday, November 3, 2010

Si Ayah...


Biasanya, bagi seorang anak perempuan yang sudah dewasa, yang sedang bekerja diperantauan, yang mengikut suami merantau di luar kota atau luar negeri, yang sedang bersekolah atau kuliah jauh dari kedua orang tuanya... Akan sentiasa merasa rindu dengan ibunya.. Tapi bagaimana dengan AYAHnya?

Mungkin kerana ibu lebih sering menelefon untuk menanyakan keadaanmu setiap hari, tapi tahukah kamu, jika yang sebenarnya ayahlah yang mengingatkan ibu untuk menelefonmu?

Mungkin dulu sewaktu kamu kecil, ibulah yang lebih sering mengajakmu bercerita, tapi tahukah kamu, bahawa sekembalinya ayah dari bekerja dan dengan wajah yang keletihan, ayah selalu menanyakan pada ibu tentang khabarmu dan apa yang kamu lakukan seharian?

Pada saat dirimu masih seorang anak kecil. Ayah biasanya mengajar puteri kecilnya naik basikal. Dan setelah ayah mengganggapmu sudah boleh menunggangnya, ayah akan melepaskan roda bantu di basikalmu. Kemudian Ibu kata: "Jangan dulu ayahnya, jangan ditanggalkan dulu roda bantuannya", itu kerana ibu takut puteri manisnya akan terjatuh lalu terluka, tercedera....

Tapi sedarkah dikau? Bahawa ayah dengan yakin akan membiarkanmu, memerhatimu, dan menjagamu mengayuh basikal dengan seksama kerana dia tahu anak kecilnya PASTI mampu melakukannya.

Pada saat kamu menangis merengek meminta alat permainan yang baru, ibu menatapmu dengan hiba. Tetapi ayah akan mengatakan dengan tegas: "Boleh, kita beli nanti, tapi tidak sekarang" Tahukah kamu, ayah melakukan itu kerana ayah tidak ingin kamu menjadi anak yang manja dengan semua kehendahmu yang selalu dipenuhi.

Saat kamu ditimpa sakit , ayahlah yang terlalu khuatir, risau sampai kekadang sedikit membentak dengan berkata: "Sudah diberitahu! kamu jangan minum air sejuk!". Berbeza dengan ibu yang akan memperhatikan dan menasihatimu dengan lembut. Ketahuilah, saat itu ayah benar-benar bimbang dengan keadaanmu..

Ketika kamu sudah beranjak usia muda remaja.. Kamu mulai meminta pada ayah untuk mendapat keizinan keluar malam, dan ayah bersikap tegas dan mengatakan: "Tidak boleh!". Tahukah kamu, bahawa ayah melakukan itu untuk menjagamu? Kerana bagi ayah, kamu adalah sesuatu yang sangat-sangat berharga.. Setelah itu kamu marah pada ayah, dan masuk ke bilik sambil menghempas pintu sekuat-kuatnya tanda protes...

Dan yang datang mengetuk pintu dan memujukmu agar tidak marah adalah ayah. Tahukah kamu, bahawa saat itu ayah memejamkan matanya dan menahan gelojak dan gejolak dalam jiwanya, Bahawa ayah sangat ingin memenuhi kehendakmu, Tapi dia HARUS menjagamu?

Ketika saat seorang teman lelaki mulai sering menelefonmu, atau bahkan datang ke rumah untuk menemuimu, ayah akan memasang wajah paling cool sedunia.... :') ayah sesekali memasang telinga atau mengintip saat kamu sedang berbual berdua di ruang tamu.. Sedarkah kamu, kalau hati ayah sebenarnya merasa cemburu?

Saat kamu mulai lebih dipercaya, dan ayah mula melonggarkan sedikit peraturan keluar rumah untukmu, kamu akan dipaksa untuk tidak melanggar jam malamnya, untuk tidak pulang lewat. Maka yang dilakukan ayah adalah duduk di ruang tamu, dan menunggumu pulang dengan hati yang sangat khuatir dan bimbang. Setelah perasaan bimbang dan khuatir itu berlarut – larutan, ketika melihat puteri kecilnya pulang larut malam hati ayah akan mengeras dan memarahimu.. Sedarkah kamu, bahawa ini kerana hal yang sangat ditakuti ayah akan segera datang? "Bahwa puteri kecilnya akan segera pergi meninggalkannya"

Setelah lulus SPM, Ayah akan sedikit memaksamu untuk menjadi seorang Doktor atau Engineer atau Lawyer.  Ketahuilah, bahawa seluruh paksaan yang dilakukan ayah itu adalah semata - mata hanya kerana memikirkan masa depanmu nanti.Tapi ayah tetap tersenyum dan menyokongmu saat pilihanmu tidak sesuai dengan keinginan ayah.

Ketika kamu menjadi kian menjadi gadis dewasa. Dan kamu harus pergi kuliah di kota lain. Ayah harus melepaskanmu di bandar asing itu. Tahukah kamu bahawa badan ayah terasa kaku untuk memelukmu? Ayah hanya tersenyum sambil memberi nasihat itu dan ini, Ayah menyuruhmu untuk berhati-hati. Padahal ayah ingin sekali menangis seperti ibu dan memelukmu erat-erat. Yang ayah lakukan hanya menghapus sedikit air mata di sudut matanya, dan menepuk bahumu sambil berkata "Jaga dirimu baik-baik ya sayang". Ayah melakukan itu semua agar kamu KUAT.... kuat untuk pergi dan menjadi dewasa.

Disaat kamu kesempitan wang untuk membiayai perbelanjaan semester dan kehidupanmu, orang pertama yang mengerutkan kening adalah ayah. Ayah pasti berusaha keras mencari jalan agar anaknya boleh merasa senang sama dengan teman-temannya yang lain. Ketika permintaanmu bukan lagi sekadar meminta alat mainan yang baru, dan ayah tahu ia tidak mampu memberikan apa yang kamu inginkan...

Kata-kata yang keluar dari mulut Ayah adalah: "Tidak.... Tidak boleh!" Padahal dalam batin Ayah, Ia sangat ingin mengatakan "Iya sayang, nanti ayah belikan untukmu". Tahukah kamu bahwa pada saat itu Ayah merasa gagal membuat anaknya tersenyum?

Saatnya kamu berjaya sebagai seorang sarjana. Ayah adalah orang pertama yang berdiri dan memberi tepuk tangan untukmu. Ayah akan tersenyum dengan bangga dan puas melihat "puteri kecilnya yang tidak manja lagi membesar dan manjadi dewasa, dan telah menjadi seseorang" Sampai saat seorang teman Lelakimu datang ke rumah dan meminta izin pada ayah untuk mengambilmu darinya. Ayah akan sangat berhati-hati untuk memberikan keizinan.. Kerana Ayah tahu..... Bahawa lelaki itulah yang akan menggantikan tempatnya, tanggungjawabnya nanti.

Dan akhirnya....

Saat ayah melihatmu duduk di kerusi pelamin bersama seseorang Lelaki yang dianggapnya mampu menggantikannya, Ayah pun tersenyum bahagia.. Adakah kamu ketahui, di hari yang bahagia itu ayah pergi kebelakang pentas pelamin, dan menangis? Ayah menangis kerana ayah sangat terharu dan bahagia, kemudian ayah berdoa.... Dalam lirih doanya kepada Tuhan, Ayah berkata: "Ya Allah tugasku telah selesai dengan baik.... Puteri kecilku yang manja dan yang ku cintai telah menjadi wanita dewasa yang solehah, yang cantik.... Bahagiakanlah dia bersama suaminya... rahmatilah kehidupan mereka Ya Allah"

Setelah itu Ayah hanya mampu menunggu kedatanganmu bersama cucu-cucunya yang sesekali datang untuk menjenguk... Dengan rambut yang telah dan semakin memutih.... Dan badan serta lengan yang tak lagi kuat untuk menjagamu dari sebarang mara bahaya.... Ayah telah menyelesaikan tugasnya.... Papa, Ayah, Bapak, Baba atau Abah kita... Adalah insan yang seharusnya selalu terlihat kuat... Bahkan ketika dia tidak kuat untuk tidak menangis, dia harus terlihat tegas bahkan saat dia ingin memanjakanmu, dia adalah yang orang pertama yang selalu yakin bahawa "KAMU MAMPU" dalam segala hal sejak kamu puteri kecilnya, gadis remajanya dan menjadi wanita dewasa yang solehah ..

Tuesday, November 2, 2010

Perbualan seorang bayi sebelum kelahirannya...


Baca dan hayati kisah di bawah ini. Fahami mesej yang cuba disampaikan. Dan paling penting, amalkan ilmu yang anda dapat.


Adalah dikisahkan….pada ketika seorang bayi akan dilahirkan ke dunia nyata.
  •  Bayi  itu bertanya kepada Tuhan : “Para malaikat di sini mengatakan bahawa besok Engkau akan mengirimkan saya ke dunia, tetapi bagaimana cara saya hidup di sana? Saya begitu kecil dan lemah.”
Tuhan menjawab: “Aku telah memilih satu malaikat untukmu. Dia akan menjaga dan mengasihimu dengan sepenuh hatinya.”
  • Bayi bertanya lagi: “Tetapi disini, didalam syurga ini, apa yang saya lakukan hanyalah bernyanyi, bermain dan tertawa…Inikan sudah cukup bagi saya untuk berbahagia.”
Tuhan menjawab: “Malaikat mu nanti akan bernyanyi dan tersenyum untukmu setiap hari. Dan kamu akan merasakan kehangatan cintanya dan menjadi lebih berbahagia di sana”
  • Bayi bertanya lagi: “Bagaimana mungkin saya dapat memahami orang-orang bercakap dengan saya sedangkan saya tidak memahami bahasa mereka?”
Tuhan menjawab: “Malaikatmu akan berbicara kepadamu dengan bahasa yang paling indah yang pernah kamu dengar. Dan dengan penuh kesabaran dan perhatian. Dia akan mengajar kepadamu cara untuk berkata-kata.”  
  • Bayi bertanya lagi: “Apakah yang boleh saya lakukan ketika saya ingin berbicara kepadaMu?”
Tuhan menjawab: “Malaikatmu akan mengajarkan bagaimana cara kamu berdoa dan bermunajat kepadaKu.”
  • Bayi bertanya lagi:”Saya mendengar bahawa di  Bumi  banyak orang jahat. Siapa yang akan melindungi saya nanti?”
Tuhan menjawab: “Malaikatmu lah yang akan melindungimu, walaupun mungkin jiwa dan raga terpaksa dikorbankannya.’
  • Bayi bertanya lagi: “Tapi, saya pasti akan merasa sedih kerana tidak lagi dapat melihatMu lagi.”
Tuhan menjawab: “Malaikatmu akan menceritakan kepadamu tentang Aku dan akan mengajarkan bagaimana kamu nanti akan kembali juga kepadaKu, walaupun sesungguhnya Aku akan sentiasa disisimu.”

Pada saat itu, Syurga begitu tenang dan hening sehingga suara dari Bumi dapat jelas kedengaran.
  • Dan sang bayi bertanya perlahan : “Tuhan, jika saya terpaksa pergi sekarang ini, bolehkah  Kamu  khabarkan kepadaku nama malaikat yang Kamu maksudkan itu?”
Tuhan menjawab: “Kamu akan memanggil malaikatmu itu sebagai “IBU”.  Maka ingatlah, sentiasa kamu berkasih sayang dengannya dan menghargai setiap pengorbanan ibu mu. Berbakti, berdoa dan cintailah dia sepanjang masa. Dialah satu-satunya harta mu yang tiada galang gantinya, dunia mahupun akhirat. 

Dan untuk para ibu, ingatlah kisah ini dikala kamu hilang sabar dengan karenah anak-anak mu yang sedang membesar. Sesungguh nya Syurga itu dibawah telapak kakimu. Sucikanlah 4 perkara dengan 4 perkara :
  1. Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan
  2. Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu
  3. Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Robb mu
  4. Dosa-dosa mu yang lalu dengan taubat kepada Dzat yang Memiliki mu
 Sekian, semoga dapat sikit sebanyak manfaat daripada coretan ini.

Monday, November 1, 2010

Aku, Kau Berbeza... Aku, Kau Istimewa...


LELAKI

Lelaki bujang kena tanggung dosa sendiri apabila sudah baligh manakala dosa gadis bujang ditanggung oleh bapanya.

Lelaki berkahwin kena tanggung dosa sendiri, dosa isteri, dosa anak perempuan yang belum berkahwin (yg ada anak pompuan ramai kena ingat ni....pastikan anak solat, tutup aurat, dll) dan dosa anak lelaki yang belum baligh.


BERATKAN?

Hukum menjelaskan anak lelaki kena bertanggung jawab ke atas ibunya dan sekiranya dia tidak menjalankan tanggung jawabnya maka dosa baginya terutama anak lelaki yang tua, manakala perempuan tidak, perempuan hanya perlu taat kepada suaminya. Isteri berbuat baik pahala dapat kepadanya kalau buat tak baik dosanya ditanggung oleh suaminya. BERATKAN??

Suami kena bagi nafkah pada isteri, ini wajib tapi isteri tidak. Walaupun begitu isteri boleh membantu. Haram bagi suami bertanya pendapatan isteri lebih-lebih lagi menggunakan pendapatan isteri tanpa izin.

Banyak lagi lelaki lebih-lebih lagi yang bergelar suami perlu tanggung. Kalau nak dibayangkan beratnya dosa-dosa yang ditanggungnya seperti gunung dengan semut. Itu sebabnya mengikut kajian nyawa orang perempuan lebih panjang daripada lelaki. Lelaki mati cepat kerana tak larat dengan beratnya dosa-dosa yang ditanggung (ikut kajian laa...jangan percaya sangat)

Tetapi orang lelaki ada keistimewaannya yang dianugerah oleh Allah SWT. Ini orang lelaki kena tahu, kalau tak tahu kena jadi perempuan. Begitulah kira-kiranya.

WANITA :

Auratnya lebih susah dijaga berbanding lelaki. Perlu meminta izin dari suaminya apabila mahu keluar rumah tetapi tidak sebaliknya. Saksinya kurang berbanding lelaki. Menerima pusaka kurang dari lelaki.

Perlu menghadapi kesusahan mengandung dan melahirkan anak.

Wajib taat kepada suaminya tetapi suami tak perlu taat pada isterinya. Talak terletak di tangan suami dan bukan isteri. Wanita kurang dalam beribadat kerana masalah haid dan nifas yang tak ada pada lelaki.

Pernahkah kita lihat sebaliknya??

Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan ditempat yang tersorok dan selamat. Sudah pasti intan permata tidak akan dibiar bersepah-sepah bukan? Itulah bandingannya dengan seorang wanita.

Wanita perlu taat kepada suami tetapi lelaki wajib taat kepada ibunya 3 kali lebih utama dari bapanya. Bukankah ibu adalah seorang wanita ?

Wanita menerima pusaka kurang dari lelaki tetapi harta itu menjadi milik peribadinya dan tidak perlu diserahkan kepada suaminya, manakala lelaki menerima pusaka perlu menggunakan hartanya untuk menyara isteri dan
anak-anak.

Wanita perlu bersusah payah mengandung dan melahirkan anak, tetapi setiap saat dia didoakan oleh segala haiwan, malaikat dan seluruh makhluk ALLAH di mukabumi ini, dan matinya jika kerana melahirkan adalah syahid kecil. Manakala dosanya diampun ALLAH (dosa kecil).

Di akhirat kelak, seorang lelaki akan dipertanggungjawabkan terhadap 4 wanita:

1. ibunya ,
2. isterinya ,
3.anak perempuannya , dan
4. saudara perempuannya.

Manakala seorang wanita pula, tanggungjawab terhadapnya ditanggung oleh 4 org lelaki ini:

1. suaminya,
2. ayahnya,
3. anak lelakinya dan
4. saudara lelakinya .

Seorang wanita boleh memasuki pintu Syurga melalui mana-mana pintu Syurga yg disukainya cukup dengan 4 syarat sahaja:

1. sembahyang 5 waktu
2. puasa di bulan Ramadhan
3. taat suaminya dan
4. menjaga kehormatannya .

Seorang lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah tetapi wanita jika taat akan suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada ALLAH akan turut menerima pahala seperti pahala orang pergi berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata.

MasyaALLAH.. .sayangnya ALLAH pada wanita ....

Seorang wanita adalah pelengkap dan sememangnya istimewa di sisi seorang lelaki , tetapi ingatlah wahai lelaki...kamu sebenarnya adalah istimewa disisi Allah, maka dengan sebab itu DIA mengangkat kamu menjadi
pemimpin...maka dengan keistimewaan itu, JAGALAH dan HARGAILAH wanita sebaik-baiknya...supaya kelak masing2 lelaki dan wanita dapat pulang mengadap Allah dalam keadaan istimewa disisiNYA..

"Berpeganglah kamu sekelian dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah, dan ingatlah nikmat Allah atas kamu, seketika kamu bermusuh-musuhan telah dipersatukanNya hati kamu semuanya, sehingga dengan segera kamu telah menjadi bersaudara dengan sebab nikmatNya.(Ali- Imran:103)

Pada hari itu (hari qiamat) manusia diberitahu akan segala yang telah dikerjakannya dan yang telah ditinggalkan. Bahkan manusia itu, anggotanya menjadi saksi terhadap dirinya sendiri, walaupun dia berperi-peri memberikan alasan untuk membela diri "

Hikmah sujud -

Sujud lega sistem pernafasan

Mungkin ramai di kalangan umat Islam tidak sedar mengenai pelbagai hikmah yang tersembunyi ketika sujud. Pada hal, kita perlu sedar bahawa tiada suatu pun ciptaan dan suruhan Allah s.w.t. yang sia-sia, malahan setiap ciptaan itu mempunyai kelebihan yang selalunya tidak terjangkau akal manusia. Manusia melakukan sujud dalam dua bentuk, iaitu sujud fizikal seperti ketika bersolat dan sujud spiritual berbentuk ketaatan kepada perintah Allah s.w.t. dan menjauhi laranganNya. Ulama mengatakan sujud ketika solat adalah waktu manusia paling hampir dengan Allah s.w.t. dan mereka menggalakkan kita bersujud lebih lama. Antara hikmah lain sujud adalah melegakan sistem pernafasan dan mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya.

Bernafas ketika sujud pula boleh:

- membetulkan kedudukan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya.

- membetulkan pundi peranakan yang jatuh.

- melegakan sakit hernia. (burut)

- mengurangkan sakit senggugut ketika haid.

- melegakan paru-paru daripada ketegangan.

- mengurangkan kesakitan bagi pesakit apendiks atau limpa.

- kedudukan sujud adalah paling baik untuk berehat dan mengimbangkan lingkungan bahagian belakang tubuh.

- meringankan bahagian pelvis.

- memberi dorongan supaya mudah tidur.

- menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut serta punggung ketika akan sujud dan bangun daripada sujud.

- pergerakan otot itu menjadikan ototnya lebih kuat dan elastik, secara automatik memastikan kelicinan perjalanan darah yang baik.

- bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik, mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar daripada sakit buah dada.

- mengurangkan kegemukan.

- pergerakan bahagian otot memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ke tempat asal serta terhindar daripada sakit gelombang perut (convulsions).

- organ terpenting iaitu otak manusia menerima banyak bekalan darah dan oksigen.

- mengelakkan pendarahan otak jika tiba-tiba menerima pengepaman darah ke otak secara kuat dan mengejut serta terhindar penyakit salur darah dan sebagainya.

Dari segi psikologi pula, sujud membuatkan kita merasa rendah diri di hadapan Yang Maha Pencipta sekaligus mengikis sifat sombong, riak, takbur dan sebagainya.

Dari segi perubatan, kesan sujud yang lama akan menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala dan migrain, menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran sekali gus menguatkan mentality seseorang. Menurut kajian, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang tidak dimasuki darah sedangkan setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara normal dan sempurna.

Tujuh kalimat

Sabda Rasulullah S.A.W " Barang siapa hafal tujuh kalimat, ia terpandang mulia di sisi Allah dan Malaikat serta diampuni dosa-dosanya walau sebanyak busa/buih laut "

1. Mengucap Bismillah pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.

2. Mengucap Alhamdulillah pada tiap-tiap selesai melakukan sesuatu.

3. Mengucap Astagfirullah jika lidah terselip perkataan yang tidak patut.

4.. Mengucap Insya Allah jika merencanakan berbuat sesuatu di hari esok.

5. Mengucap La haula wala kuwwata illa billah jika menghadapi sesuatu tak disukai dan tak diingini.

6. Mengucap inna lillahi wa inna ilaihi rajiun jika menghadapi dan menerima musibah.

7. Mengucap La ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah sepanjang siang malam sehingga tak terpisah dari lidahnya dari tafsir hanafi, mudah-mudahan ingat, walau lambat-lambat mudah-mudahan selalu, walau sambil lalu mudah-mudahan jadi bisa, karena sudah biasa


Surah Al-Munaafiquun :
Ayat : 9
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu lalai (lengah) kerana harta benda dan anak-anakmu daripada mengingati Allah (sembahyang lima waktu). Barangsiapa memperbuat demikian itu, maka mereka orang yang rugi.
Ayat : 11
Allah tiada akan memberi tempoh kepada seorang bila telah sampai ajalnya. Allah Maha Mengetahui tentang apa yang kamu kerjakan.

Para Ulama' berpesan untuk kita jadikan pegangan JANGAN TINGGAL/LALAI BERSOLAT, ia adalah WAJIB:

Barangsiapa meninggalkan solat Maghrib , dosanya seperti berzina dengan ibunya sendiri bagi yang lelaki dan berzina dengan bapanya sendiri bagi yang perempuan!

Jadi, apakah bezanya sumbang mahram dengan meninggalkan solat Maghrib?

Meninggalkan solat Isya' , maka Allah tidak redha ia hidup di bumi-Nya.

Bermakna, setiap langkah kita tidak mendapat pelindunganNya di dunia ini. Dan lebih malang bila kita diazab di dunia yang lain nanti (akhirat).

Meninggalkan solat Subuh akan disiksa selama 60 tahun (waktu akhirat) di dalam neraka.

Perlu kita ingat bahawa azab yang paling ringan adalah sepertimana azab yang dikenakan kepada bapa saudara Rasulullah saw yang mana apabila dipakaikan kasut dari neraka maka mendidihlah sampai ke otaknya.Selama ini kita baru dapat bayangkan bagaimana air mendidih saja.....

Meninggalkan solat Zohor diibaratkan seperti meruntuhkan Ka'abah. Kalau begitu sepanjang hidup kita ini tak payahlah berangan-angan untuk menunaikan haji.

Itu adalah suatu perkara yang amat mudah...

Satu kali meninggalkan solat Asar sama dosanya dengan membunuh 1000 orang Islam.

Kat dunia ni bolehlah jadi sekutu Presiden Bush atau Obama, tak payahlah kutuk dia lagi kat dunia ni...Kita dengan dia (Bush / Obama) sama saja.

Rasulullah saw ada menyebut, tinggalkan solat adalah Kafir yang nyata.

Yang benar itu adalah dari Allah swt dan yang kurang itu adalah dari kelemahan kita yang nyata.

Salam Ukhuwah..~