Kan Ku terus mengatur langkah mencari CintaMu...

Monday, November 8, 2010

Zulhijjah...

Bulan Zulhijjah 

Bulan Zulhijjah adalah bulan haji, maka ibadat haji adalah menjadi keutamaan dikerjakan di bulan ini. Bagi yang mengerjakan haji, kita doakan mereka pergi dan kembali dalam keadaan selamat. Moga ibadah haji mereka akan diterima Allah SWT. 

Bagi yang masih belum berkesempatan dan belum berkemampuan, bersabarlah dan sentiasalah memasang cita-cita untuk ke Makkah di tahun akan datang, InsyaAllah. Pada 10 Zulhijjah, seluruh umat Islam akan menyambut Hari Raya Haji atau disebut juga dengan Hari Raya Korban dalam bahasa Arabnya Idul Adha. Kita disunatkan bersolat sunnat 'Id di pagi harinya dan disunnatkan menyembelih binatang ternak yang berkaki empat (unta, lembu atau kambing). 

Pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah adalah dikenali dengan Hari Taysrik yang mana korban masih disunnatkan lagi dilakukan. Disunatkan juga kita bertakbir setiap masa khasnya selepas solat pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah tersebut dan diharamkan kita berpuasa padanya.

Peristiwa Bulan Zulhijjah

Sejarah telah merakam berbagai peristiwa yang berlaku di bulan Zulhijjah. Umat Islam telah melalui berbagai pengalaman suka, duka, senang, susah, menang, kalah, untung dan rugi di bulan ini. Berikut adalah diantara peristiwa penting yang pernah tercatat di bulan Zulhijjah; 

1. Penyembelihan Nabi Ismail AS. Nabi Ibrahim AS yang mendapat gelaran Rasul Ulul A'zmi sekali lagi membuktikan kepatuhannya terhadap perintah Allah SWT untuk menyembelih anaknya, Ismail AS. Ismail AS juga dengan penuh ketaatan bersedia untuk disembelih oleh ayahnya tanpa ada bantahan. Lambang kepatuhan dua beranak ini telah diabadikan menjadi syiar Islam (sembelihan). Umat Islam samaada yang berada di Makkah ataupun di mana-mana disunatkan untuk berkorban menyembelih samaada unta, lembu, atau kambing pada 10, 11, 12 atau 13 Zulhijjah. 

2. Baiatul Aqabah. Pada tahun ketiga belas selepas perlantikan Baginda SAW menjadi nabi, berlakulah peristiwa Baiatul Aqabah (perjanjian setia Aqabah), ianya disertai oleh 73 orang lelaki dan 2 orang perempuan dari kaum Aus dan Khazraj. Mereka telah berjanji akan terus setia mempertahan, menolong dan menyebarkan ajaran Rasulullah SAW kepada penduduk Yatsrib (Madhinah). Sebenarnya Baiatul Aqabah adalah pembuka kunci kepada penghijrahan nabi SAW ke Madhinah. Nabi sudah menyediakan pendokong-pendokongnya terlebih dahulu di Madhinah sebelum berhijrah. Maha suci Allah yang telah mengatur dan menolong kekasihnya (Rasulullah SAW). 

3. Hajjatul Wida' (Haji Selamat Tinggal) Rasulullah SAW hanya sempat mengerjakan haji sebanyak sekali sahaja seumur hidupnya. Pada tahun kesepuluh Hijrah, Nabi saw mengerjakan 'ibadah Haji yang dikenali dengan Hajjatul Wida'. Pada peristiwa Hajjatul Wida' itu, baginda SAW menyampaikan khutbah terakhirnya (Khutbatul Wida') yang mana amanat-amanatnya yang kesemuanya adalah intipati peraturan dan aturcara kehidupan di dalam Islam.
4. Umar RA meninggal dunia,Uthman RA dilantik. Umar adalah khalifah ke dua selepas Abu Bakar RA. Beliau adalah sahabat rapat Rasulullah SAW dan terkenal dengan sifat tegas dan cerdik sehingga digelar dengan Umar Al-Faruk (pembeza). Pada tahun 23 Hijrah, Amir Al Mu'minin Umar bin Al Khattab meninggal dunia dibunuh oleh Abu Lu'luah Al Majusi. Dengan itu urusan kepimpinan negara bertukar kepada Saidina Uthman RA. Perlantikan Uthman bin 'Affan sebagai khalifah yang dipilih sebulat suara oleh sebuah majlis mesyuarat Syura yang telah ditubuhkan oleh Umar bin Al Khattab sebelum kematiannya. 

5. Ali RA menjadi khalifah yang keempat. Setelah berlaku kontraversi tentang pembunuhan Uthman RA, urusan kepimpinan kerajaan diterajui pula oleh Saidina Ali RA. Perlantikan Ali bin Abi Talib sebagai khalifah menggantikan Uthman bin Affan pada tahun 35 Hijrah. Dan akhirnya Ali juga di bunuh oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan kepimpinannya.

Renungan Zulhijjah

" KHUTBAH TERAKHIR DARI NABI MUHAMMAD SAW "
(Khutbah ini disampaikan pada 9hb Zulhijjah 10H di Lembah Uranah, Gunung Arafah)* 

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu selepas ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikan ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini. Wahai manusia, seperti mana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai amanah suci. kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. 

Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba adalah dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil. 

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina. Wahai manusia, dengarlah kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah 'Ibadah haji' sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap muslimin adalah saudara kepada muslimin yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lain kecuali dalam taqwa dan beramal soleh. 

Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari nanti untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku. 

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hambaMu..

No comments:

Post a Comment