Kan Ku terus mengatur langkah mencari CintaMu...

Saturday, November 3, 2012

"Bila Awak Nak Kahwin?"...

Pada saat usia mencecah alam dewasa, pastinya persoalan jodoh merupakan salah satu perkara yang amat mengusutkan fikiran kita. Soalan-soalan yang dilontarkan oleh insan sekeliling biarpun secara gurauan terasa sangat menyentap perasaan. Bila berseorangan, kita rasa kurang keyakinan, rasa serba kekurangan, malu dan tertekan...
Ketika berkumpul bersama kawan-kawan, ramai antara mereka yang sudah menimang cahaya mata, sedangkan kita hanya mampu memandang dan bermonolog dalam hati, "Bilakah waktunya untuk aku mengalaminya juga..." Hati rasa lebih tersentuh apabila ibu dan ayah kita memeluk dan mencium anak orang lain. Kita faham itu petandanya mereka sangat mendambakan cucu mereka sendiri...
Tapi itu semua kehendak Allah, bukan kehendak kita. Tiada siapa pun dalam dunia ini yang mahu hidup berseorangan. Namun kita harus akur dengan takdir Allah yang masih belum mengizinkan kita untuk bertemu jodoh. Kita harus berikhtiar, bersabar dan jangan sesekali berputus asa. Kerana jodoh itu rahsia Allah. Bila, siapa, di mana dan bagaimana, itu semua hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Dalam menghadapi saat ini, usahlah diturutkan sangat dengan tekanan perasaan dek sindiran insan sekeliling. Tapi cubalah ikhtiar dan muhasabah diri kita. Adakah sudah cukup usaha dan ikhtiar kita dalam mencari jodoh? Adakah kita pernah minta pada Allah supaya diringankan jodoh pada setiap kali sujud kepadaNya? Berapa kali kita bangun dan bersolat hajat pada malam hari memohon dipermudahkan jodoh? Pernahkah kita solat sunat Dhuha, memohon limpahan rezeki berupa jodoh yang baik dan keluarga yang sakinah? Berapa kali kita solat taubat, memohon keampunan agar doa kita untuk mendapat jodoh tidak terhalang disebabkan dosa-dosa silam kita? Dan cukupkah ikhtiar kita dengan solat istikharah agar tidak terburu-buru membuat keputusan dan pilihan hanya kerana terdesak?
Selain itu, cuba kita muhasabah diri kita. Adakah ikhtiar kita selama ini menepati syariat yang digariskan oleh Allah? Adakah kita sudah menahan diri daripada bergaul bebas dengan mereka yang bukan mahram? Adakah kita sudah menjaga diri daripada berhias berlebih-lebihan hanya untuk menarik perhatian kaum lelaki? Seandainya sudah menepati syariat tapi masih gagal, redha dan yakinlah bahawa Allah telah merancang yang terbaik buat kita. Teruskan usaha dan bersabarlah...
Namun di sebalik ikhtiar dan kesabaran, kita juga haruslah mengkaji apakah hikmahnya ujian Allah terhadap kita yang lambat jodoh. Mungkin kita hanya memandang kelebihan orang yang cepat jodoh; dapat menjadi ibu dan bapa lebih awal dan dapat melaksanakan sunnah lebih awal. Tapi sedarkah kita yang lambat jodoh masih juga punya kelebihan? Saat inilah masanya untuk kita berbakti kepada ibu bapa kita. Bila kita sudah berumahtangga, keadaan mungkin berbeza kerana terpaksa membahagi masa untuk keluarga sendiri dan juga untuk ibu bapa. Saat ini jugalah masanya untuk kita menimba ilmu sebanyak-banyaknya. Dalami ilmu agama, ilmu untuk menguruskan rumahtangga dan ilmu untuk mendidik anak-anak agar kita lebih bersedia apabila tiba saatnya nanti.
Akhir sekali, usahlah bersedih hati. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Jaga iman dan hati agar tidak tertipu dengan hasutan nafsu. Jaga maruah seorang wanita; jangan sampai nasibnya menjadi seperti epal yang masak ranum di puncak pohon, tapi akhirnya gugur ke bumi lalu membusuk dan tidak berguna hanya kerana tiada yang sudi memetiknya...

Surat Untuk Awak...

 
Assalamualaikum w.b.t.
Awak,
Waktu kecik-kecik dulu, mak ayah kita mesti suruh kita belajar silat, taekwondo, senang kata 'martial arts' kan?? Bila kita tanya kenapa, mesti mereka jawab nanti kalau ada orang jahat, boleh kalahkan orang jahat. Kita pun mulalah berangan kita jadi 'power rangers', 'powerpuff girl' dan sebagainya. Mulalah pasang impian nak jadi superhero, nak kalahkkan orang jahat. Bila cikgu tanya, "besar nanti nak jadi apa?" Terus jawab dengan penuh semangat, "Saya nak jadi superman!!"
Tetapi bila umur dah semakin bertambah, tiba-tiba kita rasa macam 'no point' belajar segala macam 'martial arts' itu. Sebab sekarang semakin canggih. Orang jahat bawak M16. Barulah kita nak bukak langkah silat, orang jahat angkat je M16, terus kita bukak langkah seribu. Macam kita belajar 'martial arts' itu saja-saja nak buang duit mak ayah. Rasa tak macam tu??
Awak, zaman sekarang ni bukan kehebatan kita dalam 'martial arts' yang dipandang. Tetapi kehebatan kita menjaga hubungan dengan Allah, menjaga iman, menjaga nafsu tu yang paling penting. Mesti awak tertanya-tanya apa kaitan 'martial arts' dengan iman, nafsu ni semua. Mesti awak kata orang yang tengah tulis surat ni dah senget. huhu~
Zaman sekarang ni, kalau kita tak kuat, senang sangat kita nak terjebak dengan benda merepek-repek itu. Cuba bayangkan, kalau orang itu iman dia macam biskut, mesti dia senang sangat nak jadi jahat. Sebab itu kita kena pelihara iman kita.
Kalau hubungan kita dengan Allah kuat, iman kita pun jadi kuat, InsyaAllah yang lain pun jadi kuat. Cuba tengok sahabat--sahabat Rasulullah SAW. Hubungan mereka sangat kuat kepada Allah. Jika sebelum islam mereka menentang Rasulullah, tetapi setelah mereka memeluk islam kerana mencari redha Allah, mereka sanggup tinggalkan keluarga, harta demi ikut baginda berhijrah ke Madinah. Tiada satu pun yang menghalang mereka untuk tidak ikut berhijrah.
Tapi sekarang, zaman seakan berubah, seakan dah macam zaman jahiliyah semula. Kalau ada orang tu "Baik in terms of Allah and Rasul", mesti orang pandang pelik pada dia. Jika pakai kopiah di anggap jumud dan tidak maju. Pakai baju jubah di anggap tidak pandai bergaya dan berfesyen 'basi'. Maksudnya sekarang, maksiat tu sangat berleluasa. Tak kisah la di ceruk mana pun.
Sehinggakan yang baik itu tampak jadi asing, yang dedah aurat, gaul bebas, zina dan arak jadi perkara biasa. Jadi, apa yang boleh tolong kita nak 'counter' maksiat ni, bukannya 'martial arts' yang berbunga-bunga tu yang penting untuk selamat kita dari bencana akhlak dan iman tu, tetapi hubungan kita dengan Allah dan juga iman kita.
Kalau kita hebat di gelanggang silat, tetapi iman kita macam biskut, tidak berguna. Lagipun Allah tidak pandang pun 'martial arts' kita itu, jadi tak perlulah nak bermegah-megah dengan 'martial arts' tersebut.
Saya tahu mesti awak kata, "susah la nak jaga iman! Iman ni kan senipis kulit bawang. Senang je nak terkoyak." Saya dah agak awak akan petik kata-kata itu. Tidak mengapa, kita semua tidak sempurna. Kita semua memang tidak boleh jadi sempurna, tetapi kita boleh berusaha untuk jadi lebih baik.
"Perfection is impossible but effort to be a better is possible."
Saya pun bukan baik sangat. Kadang-kadang saya pun tersilap. Tapi jika kita sedar kita dah tersilap, teruslah cepat-cepat bertaubat. Sama-sama kita budayakan sentiasa berdoa. Istiqamahkan meminta pada Allah agar dipelihara iman kita yang senipis bawang ni. Jika saya tersasar, cepat-cepat tegur saya. Nasihat saya agar saya sedar dan tidak terus berada di dalam kepompong kejahilan dan dosa.

So, lets be a better person together! Ingat tau awak, sekarang ni bukan zaman bersilat lagi dah, tetapi zaman mengukuhkan iman kita supaya kita tidak terjerumus sekali ke dalam lembah kemaksiatan.
Saya rasa setakat ini dahulu surat saya untuk awak. Saya tulis surat ini sebab saya nak masuk Jannah dengan awak. Kita kena saling mengingatkan kerana manusia itu sifatnya mudah lupa. Ukhwah fillah.