Kan Ku terus mengatur langkah mencari CintaMu...

Sunday, March 31, 2013

Bina Syurga Dunia dengan Hidup Berkeluarga...


Hidup berkeluarga sememangnya diimpikan oleh setiap umat Islam yang beriman. Mempunyai suami dan isteri yang dicintai di sisi adalah keinginan fitrah manusia. Setelah sahnya ijab dan kabul, maka bermula hidup berkeluarga yang penuh dengan warna dan serinya.

Selain daripada kebahagiaan yang dikecap, kita seharusnya mempersiapkan diri dengan cabaran dan ujian dalam hidup yang serba baru itu. Jika dahulu kita hidup dengan suasana bebas untuk melakukan sesuatu, tidak terikat dengan seseorang selain keluarga namun selepas berkahwin tiada lagi istilah hidup bujang.

Tanggungjawab terhadap keluarga bermula sebaik sahaja seseorang itu dikahwinkan. Bermulanya tanggungjawab terhadap isteri, mahupun suami sehinggalah kepada anak-anak. Berkahwin dan berkeluarga amat disukai Rasulullah S.A.W.

Baginda juga menyarankan agar mempunyai anak yang ramai bagi pasangan yang baik kerana dengan lahirnya ramai anak, maka lahirlah ramai penerus dan penyebar syiar Islam. Menjaga keluarga telahpun diperintahkan secara terus dari Allah S.W.T kepada kita semua.

Firman Allah S.W.T:
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (Surah At-Tahrim: 6)

"Anak yang ramai bukan semuanya jadi orang alim pun." 
Ini antara nada sinis berbaur negatif yang selalu menjadi "mind set" kebanyakan daripada kita. Kenapa tidak anak-anak menjadi soleh dan solehah? Anak-anak yang soleh solehah inilah yang akan mendoakan kesejahteraan ibu dan bapanya di alam kubur kelak. Doa mereka akan sentiasa mengiringi orang tuanya meskipun mereka telah meninggal dunia. Bukankah anak soleh dan solehah itu suatu kelebihan dan anugerah buat ibu dan bapa?

Dari Abu Hurairah R.A bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda:
"Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain, dan anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Riwayat Muslim)

Menghidupkan suasana Islam dalam keluarga atau biah solehah adalah seruan yang dituntut buat kita semua para suami, isteri, dan sesiapa yang bakal berada di alam rumah tangga ini. Jika sejak dari mula perkahwinan "mode Islam" itu diaktifkan, keluarga akan lebih cenderung dan akrab dengan Islam. Adalah wajib untuk mengajar anak-anak ilmu fardhu ain seperti akidah, ibadah, akhlak, serta syariat-syariat Islam yang lainnya.

Jangan bimbang andai tiada harta dunia tetapi bimbanglah andai tiada roh agama dalam keluarga. Taburkan kasih, dan cinta kita kepada pasangan hidup serta anak-anak dengan mencurahkan syariat agama Islam, bukan disuap dengan harta, kebebasan dan keseronokan yang fana.

Rasulullah S.A.W bersabda :
"Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci dan bersih), kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita bukan lahir dalam keluarga alim ulama', bukan dari keluarga wali-wali Allah dan bukan pula dari kalangan mufti-mufti yang benar. Kebanyakan kita adalah orang awam dan biasa.

Pun begitu, tidak mustahil bagi kita mewujudkan keluarga yang mencontohi para alim ulama' dan orang-orang yang dekat denganNya. Setidak-tidaknya kita mencuba, dan sekurang-kurangnya kita menjalankan tanggungjawab dalam berkeluarga.

Ayuh, bina syurga dunia dengan Islam. Le'ts turn on Islamic mode in our family!

Keistimewaan Hari Jumaat

Hari Jumaat merupakan hari yang amat istimewa bagi kaum muslimin. Hari Jumaat mempunyai banyak kelebihan dan keutamaan yang disediakan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya.

KEUTAMAAN HARI JUMAAT
Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Hari paling baik dimana matahari terbit pada hari itu adalah hari Jumaatt, pada hari itu Adam diciptakan, dan pada hari itu pula Adam dimasukkan ke dalam syurga, serta diturunkan dari syurga, pada hari itu juga kiamat akan terjadi, pada hari tersebut terdapat suatu waktu dimana tidaklah seorang mukmin solat menghadap Allah mengharapkan kebaikan kecuali Allah akan mengabulkan permintaannya."

1. Hari yang paling mulia dan merupakan penghulu dari hari-hari
Dari Abu Lubabah bin Ibnu Mundzir r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda :
"Hari Jumaat adalah penghulu hari-hari dan hari yang paling mulia di sisi Allah, hari Jumaat ini lebih mulia dari hari raya Idhul Fitri dan Idul Adha di sisi Allah, pada hari jumaat terdapat lima peristiwa, diciptakannya Adam dan diturunkannya ke bumi, pada hari Jumaat juga Adam dimatikan, di hari Jumaat terdapat waktu yang mana jika seseorang meminta kepada Allah maka akan dikabulkan selama tidak memohon yang haram, dan di hari jumaat pula akan terjadi kiamat, tidaklah seseorang malaikat yang dekat di sisi Allah, di bumi dan di langit kecuali dia dikasihi pada hari Jumaat." (Hadis Riwayat Ahmad)

2. Waktu yang mustajab untuk berdo'a
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam menyebut hari jumaat lalu beliau Rasulullah s.a.w. bersabda :
"Di hari Jumaat itu terdapat satu waktu yang jika seseorang muslim melakukan solat di dalamnya dan memohon sesuatu kepada Allah Ta'ala, nescaya permintaannya akan dikabulkan." Lalu beliau memberi isyarat dengan tangannya yang menunjukkan sedikitnya waktu itu. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun mengenai penentuan waktu, para ulama berselisih pendapat. Di antara pendapat-pendapat tersebut ada 2 pendapat yang paling kuat:
i. Waktu itu dimulai dari duduknya imam sampai pelaksanaan solat jumaat
Dari Abu Burdah bin Abi Musa Al-Asy'ari r.a. bahawa 'Abdullah bin 'Umar r.a. berkata padanya, "Apakah engkau telah mendengar ayahmu meriwayatkan hadis dari Rasulullah sehubungan dengan waktu ijaabah pada hari jumaat?" Lalu Abu Burdah mengatakan, "Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, 'iaitu waktu antara duduknya imam sampai solat dilaksanakan.'" (Hadis Riwayat Muslim)
Imam Nawawi rahimahullah menguatkan pendapat di atas. Sedangkan Imam As-Suyuthi rahimahullah menentukan waktu yang dimaksud adalah ketika solat didirikan.
ii. Batas akhir dari waktu tersebut hingga setelah Asar
Dari Jabir bin 'Abdillah rr.a., dari Nabi s.a.w. bersabda, "Hari Jumaat itu dua belas jam. Tidak ada seorang muslim pun yang memohon sesuatu kepada Allah dalam waktu tersebut melainkan akan dikabulkan oleh Allah. Maka peganglah erat-erat (ingatlah bahawa) akhir dari waktu tersebut jatuh setelah 'asar." (Hadis Riwayat Abu Dawud)
Dan yang menguatkan pendapat kedua ini adalah Imam Ibnul Qayyim rahimahullah, beliau mengatakan bahawa, "ini adalah pendapat yang dipegang oleh kebanyakan generasi salaf dan banyak sekali hadis-hadis mengenainya."
3. Dosa-dosanya diampuni antara jumaat tersebut dengan jumaat sebelumnya
Dari Salman Al-Farisi r.a. mengatakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
"Tidaklah seseorang mandi pada hari Jumaat dan bersuci semampunya, berminyak dengan minyak, atau mengoleskan minyak wangi dari rumahnya, kemudian keluar (menuju masjid), dan dia tidak memisahkan dua orang (yang sedang duduk berdampingan), kemudian dia mendirikan solat yang sesuai dengan tuntunannya, lalu diam mendengarkan (dengan saksama) ketika imam berkhutbah melainkan akan diampuni (dosa-dosanya yang terjadi) antara Jumaat tersebut dan Jumaat berikutnya." (Hadis Riwayat Bukhari)

AMALAN-AMALAN HARI JUMAAT
1. Membaca surah al-Sajdah dan al-Insan dalam solat subuh
Dari Abu Hurairah r.a., katanya :
"Nabi s.a.w. ketika solat Subuh membaca: "ALIF LAAM MIIM TANZIIL AS-Sajadah (Surah As-Sajadah), dan 'HAL ATAA 'ALAL INSAANI HIINUM MINAD DAHRI (Surah Al-Insaan)." (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
2. Memperbanyakkan selawat
Dari Abu Umamah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :
"Perbanyaklah selawat kepadaku setiap hari Jumaat kerana selawat umatku akan dipersembahkan untukku pada hari Jumaat, maka barangsiapa yang paling banyak berselawat kepadaku, dia akan paling dekat darjatnya denganku." (Hadis Riwayat Baihaqi dengan sanad shahih)
3. Membaca surat Al Kahfi
Dari Abu Sa'id Al-Khudri r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Barangsiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, akan diberikan cahaya baginya diantara dua jumaat." (Hadis Riwayat Al-Hakim dan Baihaqi dishahihkan oleh Syaikh Al-Albani)
4. Memperbanyak do'a 
5. Amalan-amalan solat jumaat (bagi laki-laki)
  • Mandi, bersiwak, dan memakai wangi-wangian.
  • Bergerak awal ke masjid.
  • Diam mendengarkan khatib berkhutbah. 
  • Memakai pakaian yang terbaik. 
  • Melakukan solat sunnah selama imam belum naik ke atas mimbar.
Manfaatkan kelebihan hari Jumaat ini dengan amalan-amalan yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana disebut dalam hadis-hadis di atas.
Semoga Allah merahmati dan membimbing kita semua ke jalan yang diredaiNya.
Allah s.w.t berfirman :
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika kalian mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu". Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah Al-Imran:31)

Saturday, March 30, 2013

Mutiara Hati: 4 Tahap Pendidikan Kepada Anak...

Sabda Rasulullah SAW:
'Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali 3 perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh.' (Hadis riwayat Iman Muslim)

Ibnu Sina berpesan, katanya:
'Ketika anak telah mendapat asuhan ibunya, maka ajarlah ia adab Islam sebelum ia diserang oleh nilai yang buruk.'

Dalam proses untuk mendidik anak-anak menjadi anak yang soleh, pelbagai cabaran dan rintangan yang harus ditempuhi oleh ibu bapa. Langkah-langkah berikut boleh diamalkan agar usaha untuk mendidik anak-anak menjadi lebih mudah dan lancar.

Rasulullah SAW menggariskan 4 Tahap Pendidikan Kepada Anak iaitu:
Tahap 1: Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (6 tahun) hendaklah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang.

Tahap 2: Anak yang berumur 7 tahun sehingga baligh (14 tahun) hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan memberi tanggungjawab.

Tahap 3: Anak yang berumur 15 hingga 21 tahun hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan menghormati pendapat mereka selagi tidak bertentangan dengan syariat.

Tahap 4: Anak yang berusia melebih 21 tahun, hendaklah ibu bapa memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibu bapa hanya bertindak sebagai penasihat supaya tindakan mereka terkawal.