Kan Ku terus mengatur langkah mencari CintaMu...

Thursday, December 30, 2010

Mengayam Cinta bertatahkan Iman...


Cinta perkataan yang indah dan suci, sekiranya takwa menjadi benang dalam menyulam cinta. Falsafah cinta yang harus dipegang dalam perkahwinan;
“kita adalah tidak sempurna tetapi perkahwinan akan menyempurnakan kita”

Syaratnya ialah masing-masing perlulah ikhlas kerana ikatan perkahwinan dimulakan dengan perjanjian yang menggunakan nama-nama Allah, satu perjanjian yang sangat besar.

‘Bercinta hingga ke syurga
 
Mampukah cinta membawa ke syurga? Bolehkah bercinta hingga ke syurga? Hanya iman dan takwa yang mampu membawa cinta ke syurga. Cinta yang lahir dari hati yang suci perlu disertakan dengan iman yang teguh.

Cinta amat mudah untuk dilafazkan, oleh si teruna kepada si dara ataupun sebaliknya. Cinta tidak akan sempurna jika berlandaskan nafsu tetapi mengayamlah cinta yang bertatahkan iman. Hanya iman yang akan memandu cinta ke landasan yang benar yang diredhai olehNya.

Amat mudah cinta dijadikan bahan tuturan, bait-bait puisi, tapi bagaimana pelaksanaannya? Mampukan ianya dilaksanakan berlandaskan syarak Islam. Tidak menghalalkan yang haram dan tidak mengharamkan yang halal? Jadikanlah takwa sebagai pegangan dalam mengharungi arus cinta.

Jika perahu kecil teroleng-oleng di tengah lautan bergelora dan pendayung tidak cekap berfikir, dan tidak berkemampuan berbuat sesuatu demi keselamatan dan kebajikan para penumpang. bagaimana halnya dengan penumpang ini? Anda sudah punya jawapan pada apa yang telah dijelaskan di atas.

Tepuk dada tanya Iman. Anda yang akan menentukan kerana anda yang akan mengayam dan menyulam cinta untuk melayari bahtera kehidupan.

www.iluvislam.com



Wednesday, December 29, 2010

Taburlah Bunga-Bunga Cinta Kepada Insan Yang Halal...

Suluhan pada menyempurnakan separuh agama bermula dengan mencari pasangan untuk dijadikan bakal suami dan isteri, merisik, melamar, dan seterusnya mengikat janji setia hidup bersama secara sah. Tiada siapa yang dapat menghalang sang mempelai melayari bahtera pertama mereka di malam hari. Inilah petanda mereka halal di sisi syarak.
Memegang, memimpin tangan, mengusap, mengucup dan memeluk, tiada siapa yang berhak menghalang. Gelodakan hawa nafsu yang ditahan sekian lama, dibayar tanpa bersyarat pada sentuhan halal itu. Islam tidak pernah menyisih umatnya dalam soal sosial hidup (muamalat), bahkan dari semudah sentuhan tersebut, sungguh senang untuk menghasilkan pahala ibadah.
Tidak perlu timbul keraguan perihal pasangan masing-masing yang telah dipatri;
“Apakah betul pilihan aku ini? Apakah cinta aku benar-benar kerana takwa kepada Allah Taala, atau hanya pandangan nafsu semata-mata?”

Selepas usai lafaz ‘aku terima nikahnya’, maka dua pasangan tadi telah dibebani dengan suatu tanggungjawab yang luar biasa. Tiada lagi timbul keraguan dalam soal memberi cinta kepada sang kekasih yang telah sah menjadi pungguk dan bulan. Semua yang telah terjadi adalah takdir yang perlu disyukuri bukan mengeluh pada ketentuan-Nya. Kesempurnaan pada nilaian kaca mata disyukuri, manakala kekurangan yang ada diredhai.
Anda tahu, mungkin mustahil seseorang itu memiliki pasangan seperti apa yang diharapkan di atas tikar sejadah, pada sebuah doa seperti ini dan itu. Tapi itulah takdir anda, terima seadanya, tidak perlu lagi pening memikirkannya, lantas mengurangi moral pada tanggungjawab yang semakin bertambah. Fikirlah bagaimana pula ingin melahirkan bintang-bintang bersinar dari benih diri, menghiasi malam-malam indah.
Kita pernah melihat dengan mata kepala bagaimana banyak hubungan suami isteri berada pada ambang penceraian. Tertanya-tanya dimanakah punca, di manakah pula penawar? Kadang kala kita serabut cuba mencari di manakah puncanya, hingga lupa untuk mencari penawar.Sebenarnya persoalan kembali kepada perkara yang paling akar, tetapi itu juga seringkali terlepas pandang, tentang cinta yang bersulamkan takwa.
Benar kita ada institusi intelektual yang perlu dipertahankan, tetapi jangan juga terlupa kini semakin banyak institusi keluarga dan cinta yang menanti rebah, semuanya perlukan dos-dos ubatan. Pembentukan keluarga Islam yang bertakwa penting dalam proses menguatkan masyarakat Islam. Keluarga-keluarga kecil yang bertakwa ini bila dikumpul dapat membentuk masyarakat Islam yang pastinya bertakwa.
www.iluvislam.com

Tuesday, December 28, 2010

Jatuh Hati Pada Cinta ...



Jangan kita sempitkan istilah ‘bijak’. Semua orang fikir salah satu faktor kejayaan manusia dalam lapangan peperiksaan di sekolah, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), dan penjawat awam kerana dia ‘bijak’. Anda betul, dan tiada siapa yang boleh menafikan. Namun jika jawapan anda mengatakan seseorang itu pandai menggunakan ‘bijak’ dalam kehidupan seharian, itu lebih tepat.
Orang bijak sahaja tidak cukup, andai tiada usaha ke arah mencapai kejayaan, kerana mereka yang tidak ada ‘bijak’ pada diri tetapi ‘bijak’ mengurus tadbir diri, tidak mustahil lebih cemerlang daripada mereka yang punya ‘bijak’ pada diri. Bila tidak cukup ‘bijak’ itu, yang akan memakan diri, segala impian dan harapan akan musnah dek termakan hasutan syaitan dalam memenuhi tuntutan hawa nafsu.
Terasa pelik juga kerana tidak pernah kenal dan bersua, tetapi bermain dengan kata-kata indah, berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mail, dan sebagainya, dengan mudah boleh jatuh cinta. Bila nafsu diletakkan di hadapan semua yang salah, nampak betul sahaja. Manakala bagi mereka yang sedikit mengaji, faham tentang halal dan haram, namun kerana tewas juga pada nafsu, matlamat cuba untuk menghalalkan cara;
“Rasa kurang best kalau tak kenal dengan lebih rapat, at least kita kenal latar belakang keluarga dia”

Pada mulanya nampak baik, tetapi bila terlalu kerap berhubung dan bertemu masa program, maka akhirnya mereka mengambil jalan pintas untuk melayan perasaan. Namun bila konsep yang sama diterjemahkan ketika bercinta dengan Allah Taala tidak pula kesampaian, sedangkan setiap umat Islam tahu akan peranan solat yang dikerjakan lima waktu setiap hari. Interaksi kita bersama Tuhan, adalah setiap kali kita mengangkat takbir dan sebelum salam, sepatutnya telah menjanjikan sebuah cinta yang lebih berapi.

Masakan tidak, setiap hari kita berkomunikasi dengan Allah Taala, lebih hebat dari sekadar menghantar khidmat SMS, tidak perlu habiskan duit untuk menampung kos kredit yang digunakan, tidak perlu banyak habiskan suara mengungkap bicara indah, secuma tenang dan teguh selama lima minit, cukup rukunnya, dan dihujungnya dipanjatkan doa. Mudahkan, tapi apabila di luar solat lain pula yang terjadi.
Peoples often do mistakes on cinta because of the way they define cinta itself. Cinta is coupling. Cinta is sharing everything. Cinta is going out together. Cinta is holding hand, etc. Ego instead of throwing tantrums over them, the initiative on helping them to define cinta in right ways are of the greatest concern actually.

www.iluvislam.com

Monday, December 27, 2010

Permulan Sebuah Perjalanan...



Garisan permulaan sebuah perjalanan seorang manusia, hamba dan da’ie ditentukan selepas mereka sudah baligh dan berakal dalam menyimpan maksud keterbukaan minda tatkala mengarahkan diri bermain dengan alam, kelangsungan pada kepercayaan diri. Meter mula bergerak mengikut kelajuan dan kepantasan roda yang berputar. Pahala dan dosa silih berganti mengisi kantung.
Berkata Umar Ibn el Khattab:
“Hendaklah jangan kamu menilai lelaki yang soleh itu hanya dengan melihatnya di masjid sahaja, namun hendaklah kamu melihat bagaimana muamalah dia ketika berurusan dengan orang lain”

Meraba-raba dalam kegelapan, tidak tahu mana halal dan haram, tidak akan menjanjikan suatu jaminan cinta itu betul-betul suci. Kononnya bercinta untuk meraih redha Ilahi. Dua pasangan kekasih bercengkerama di bawah bulan purnama, mengisi tahajud dengan bunga-bunga cinta berapi, telinga ditusuk dengan panahan syair-syair indah menggetis keasyikan dua pasangan yang hangat bercinta dalam dosa.
Kebusukan tingkah laku mengelaburi mata dan nafsu yang mengelocak tinggi. Mudah sahaja mereka membayar harga sekuntum cinta, mekar merona di tubir sukma, si ‘dia’ menabur janji dan mula dibuai mimpi, mereka khayal kerana hanya tercium haruman wangian bait kata-kata sang kekasih. Kalau dicurahkan air panas di sebelah tangan kanan, manakala tangan kiri asyik sahaja membelai dan mengusap rambut kekasih hati, kelembutan belaian tangan itu telah melenyapkan sifat panas yang ada pada air itu.

Rasa syahwat itu diangkat tinggi melebihi rasa sakit. Inilah dikatakan ‘cinta sakti’, penangannya pernah dirasai sendiri oleh Siti Zulaikha yang tertarik dengan ketampanan Nabi Allah Yusuf as, hingga menarik dirinya untuk melakukan maksiat, hingga tangan-tangan wanita luka terhiris pisau sendiri, terpesona melihat dzat wajah Nabi Yusuf as.

www.iluvislam.com

Friday, December 24, 2010

Suami...


Suami saya adalah seorang jurutera, saya mencintai sifatnya yang semulajadi dan saya menyukai perasaan hangat yang muncul dihati saya ketika bersandar dibahunya. 3 tahun dalam masa perkenalan dan 2 tahun dalam masa pernikahan, saya harus akui, bahawa saya mulai merasa letih... lelah.., alasan-alasan saya mencintainya dulu telah berubah menjadi sesuatu yang menjemukan. Saya seorang wanita yang sentimental dan benar-benar sensitif serta berperasaan halus. Saya merindui saat-saat romantis seperti seorang anak kecil yang sentiasa mengharapkan belaian ayah dan ibunya. Tetapi, semua itu tidak pernah saya perolehi. Suami saya jauh berbeza dari yang saya harapkan. Rasa sensitifnya kurang. Dan ketidakmampuannya dalam menciptakan suasana yang romantis dalam perkahwinan kami telah mematahkan semua harapan saya terhadap cinta yang ideal. Suatu hari, saya beranikan diri untuk mengatakan keputusan saya kepadanya, bahawa saya inginkan penceraian. “ Mengapa?” Dia bertanya dengan nada terkejut. “Siti letih, Abang tidak pernah cuba memberikan cinta yang saya inginkan. ” Dia diam dan termenung sepanjang malam di depan komputernya, nampak seolah-olah sedang mengerjakan sesuatu, padahal tidak. Kekecewaan saya semakin bertambah, seorang lelaki yang tidak dapat mengekspresikan perasaannya, apalagi yang boleh saya harapkan daripadanya? Dan akhirnya dia bertanya. “Apa yang Abang boleh lakukan untuk mengubah fikiran Siti?” Saya merenung matanya dalam-dalam dan menjawab dengan perlahan. “Siti ada SATU soalan, kalau Abang temui jawapannya di dalam hati Siti, Siti akan mengubah fikiran Siti; Seandainya, Siti menyukai sekuntum bunga cantik yang ada di tebing gunung dan kita berdua tahu jika Abang memanjat gunung-gunung itu, Abang akan mati. Apakah yang Abang akan lakukan untuk Siti ?” Dia termenung dan akhirnya berkata, “Abang akan memberikan jawapannya esok.” Hati saya terus gundah mendengar responnya itu. Keesokan paginya, dia tidak ada di rumah, dan saya menemui selembar kertas dengan coretan tangannya di bawah sebiji gelas yang berisi susu hangat yang bertuliskan. .. “Sayangku, Abang tidak akan mengambil bunga itu untukmu, tetapi izinkan Abang untuk menjelaskan alasannya.” Kalimah pertama itu menghancurkan hati saya. Namun, saya masih terus ingin membacanya. “Siti boleh mengetik di komputer dan selalu mengusik program di dalamnya dan akhirnya menangis di depan monitor, Abang harus memberikan jari-jari Abang supaya boleh membantu Siti untuk memperbaiki program tersebut. ” “Siti selalu lupa membawa kunci rumah ketika Siti keluar, dan Abang harus memberikan kaki Abang supaya boleh menendang pintu, dan membuka pintu untuk Siti ketika pulang. ” “Siti suka jalan-jalan di shopping Kompleks tetapi selalu tersasar dan ada ketikanya sesat di tempat-tempat baru yang Siti kunjungi, Abang harus mencari Siti dari satu lot kedai ke satu lot kedai yang lain mencarimu dan membawa Siti pulang ke rumah. ” “Siti selalu sengal-sengal badan sewaktu ‘teman baik’ Siti datang setiap bulan, dan Abang harus memberikan tangan Abang untuk memicit dan mengurut kaki Siti yang sengal itu. ” “Siti lebih suka duduk di rumah, dan Abang selalu risau Siti akan menjadi ‘pelik’. Dan Abang harus membelikan sesuatu yang dapat menghiburkan Siti di rumah atau meminjamkan lidah Abang untuk menceritakan hal- hal kelakar yang Abang alami. ” “Siti selalu menatap komputer, membaca buku dan itu tidak baik untuk kesihatan mata Siti, Abang harus menjaga mata Abang agar ketika kita tua nanti, abang dapat menolong memotongkan kukumu dan memandikanmu. “ “Tangan Abang akan memegang tangan Siti, membimbing menelusuri pantai, menikmati matahari pagi dan pasir yang indah. Menceritakan warna-warna bunga yang bersinar dan indah seperti cantiknya wajahmu.” “Tetapi sayangku, Abang tidak akan mengambil bunga itu untuk mati. Kerana, Abang tidak sanggup melihat air matamu mengalir menangisi kematian Abang. ” “Sayangku, Abang tahu, ada ramai orang yang boleh mencintaimu lebih daripada Abang mencintai Siti. ” “Untuk itu sayang, jika semua yang telah diberikan oleh tangan, kaki, mata Abang tidak cukup bagi Siti. Abang tidak akan menahan diri Siti mencari tangan, kaki dan mata lain yang dapat membahagiakan Siti. ” Airmata saya jatuh ke atas tulisannya dan membuatkan tintanya menjadi kabur, tetapi saya tetap berusaha untuk terus membacanya lagi. “Dan sekarang, Siti telah selesai membaca jawapan Abang. Jika Siti puas hati dengan semua jawapan ini, dan tetap inginkan Abang tinggal di rumah ini, tolong bukakan pintu rumah kita, Abang sekarang sedang berdiri di luar sana menunggu jawapan Siti. ” “Tetapi, jika Siti tidak puas hati, sayangku… biarkan Abang masuk untuk mengemaskan barang-barang Abang, dan Abang tidak akan menyulitkan hidupmu. Percayalah, bahagia Abang bila Siti bahagia. ” Saya terpegun. Segera mata memandang pintu yang terkatup rapat. Lalu saya segera berlari membukakan pintu dan melihatnya berdiri di depan pintu dengan wajah gusar sambil tangannya memegang susu dan roti kesukaan saya. Oh! Kini saya tahu, tidak ada orang yang pernah mencintai saya lebih dari dia mencintai saya. Itulah cinta, di saat kita merasa cinta itu telah beransur- ansur hilang dari hati kita kerana kita merasa dia tidak dapat memberikan cinta dalam ‘ kewujudan’ yang kita inginkan, maka cinta itu telah hadir dalam ‘kewujudan’ yang tidak pernah kita bayangkan sebelum ini.
cuba kita ambil ikhtibar dari cerita ini.. :)
...................................................................................

Sujud Cinta Seorang Hamba...


Di atas hamparan sejadah suci
Hamba menadah kedua telapak tangan ini
Bagi memohon keampunan dan rahmat dariMu
Agar diberikan hamba hidayah serta taufiqMu
Supaya tidak tersimpang hamba dari jalanMu

Hati hamba merasa hambar dan sunyi
Tanpa iman dan semangat taqwa dalam hati
Jiwa hamba kosong dan takkan berisi
Melainkan dengan redha
Yang Maha Mengetahui
Yang menemukan hamba dalam bingkisan restu
Yang Maha Mengasihani

Saat tasbih mengisi ruang kosong di jari-jari
Mulut dan hati hamba bersatu berzikir mengingat Ilahi
Jiwa hamba terisi dengan munajat di malam hari
Diri ini hamba abdikan buat Pencipta langit dan bumi
Moga dosa-dosa lampau dapat dihapusi dan diampuni

Kening ini hamba rapatkan di atas hamparan murni
Sujud dahi hamba mencecah ke bumi
Tanda syukur hamba akan kebesaran Ilahi
Tidak terukur nilai cintaMu yang tinggi
Tidak terhitung nilai kasihMu yang bertambah setiap hari

Ya Rabbul Izzati…
Sudikah Kau menerima cinta hamba yang hina dengan longgokan dosa ini??
Semoga keampunan mendapat tempat untuk hamba yang sering lupa diri
Semoga rahmatMu sentiasa hadir menemani
Agar kehidupan duniawi dan ukhrawi hamba diredhai

Hamba amat mendambakan cinta dariMu
Hamba juga mengharapkan pertemuan denganMu
Diri hamba ini dahaga akan belaian kasihMu
Hamparan sejadah suci hamba buktikan padaMu
Sujud cinta hamba hanyalah untuk Tuhan yang berkuasa di atas segala sesuatu
..................................................................

Thursday, December 23, 2010

21 Nasihat yang Baik...


PERTAMA
Bersedekahlah kepada orang lain lebih daripada yang mereka perlukan dan lakukanlah dengan penuh kerelaan.

KEDUA
Kahwinilah lelaki / wanita yang gemar anda berbicara dengannya, kerana kemahiran berbicara antara satu dengan lain akan menjadi lebih penting apabila usia semakin tua.

KETIGA
Usahlah mempercayai segala perkara yang anda dengari. Berbelanjalah sekadar apa yang ada atau tidurlah seberapa lama yang anda perlu.

KEEMPAT
Apabila kamu berkata, “ Aku Cinta Padamu”, maka tunaikanlah.

KELIMA
Apabila anda mengatakan, “Maaf”, tenunglah matanya.

KEENAM
Bertunanglah sekurang-kurangnya enam bulan sebelum kamu diijabkabulkan.

KETUJUH
Percayailah cinta pandang pertama.

KELAPAN
Usah tertawakan impian orang lain. Manusia tanpa impian tidak memiliki apa-apa.

KESEMBILAN
Cintailah seseorang dengan sepenuh hati dan penuh kasih sayang. Sungguhpun anda akan berasa seolah-olah diri anda tersiksa, tapi percayalah itulah satu-satunya untuk melengkapkan kehidupan ini.

KESEPULUH
Jika berlaku perselisihan pendapat, bertengkarlah secara aman. Usahlah menyebut nama sesiapa ketika bertengkar.

KESEBELAS
Usahlah menilai seseorang berdasarkan peribadi keluarga mereka.

KEDUABELAS
Berbicaralah dengan tenang dan berfikirlah dengan pantas.

KETIGABELAS
Apabila seseorang bertanyakan satu soalan yang tidak anda gemari, lontarkanlah senyuman dan bertanyalah padanya, “Kenapa anda ingin tahu?”

KEEMPATBELAS
Ingatlah bahawa setiap cinta dan pencapaian yang besar akan melibatkan pengorbanan dan risiko yang besar.

KELIMABELAS
Ucaplah “Semoga anda diberkati” apabila mendengar seseorang bersin.

KEENAMBELAS
Apabila anda kerugian, janganlah jadi kurang ajar.

KETUJUHBELAS
Berpeganglah kepada tiga R:
-Rasa hormat pada diri sendiri.
-Rasa hormat kepada orang lain.
-Rasa tanggungjawab terhadap semua tindakan anda.

KELAPANBELAS
Usahlah benarkan pertikaian yang sebesar hama merosakkan sebuah persahabatan yang besar.

KESEMBILANBELAS
Apabila menyedari bahawa anda telah melakukan kesalahan, usahlah berlengah untuk perbetulkan kesalahan itu.

KEDUAPULUH
Tersenyumlah ketika menjawab telefon. Pemanggil akan melihatnya daripada suara yang mereka dengar.

KEDUAPULUHSATU
Ada ketikanya anda perlu bersendirian. Jadi bersendirian lah buat sementara..

semoga bermanfaat..

Thursday, December 9, 2010

Peristiwa-Peristiwa Penting Bulan Muharam

1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.
10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran.

Pada 10 Muharam juga telah berlaku:
  1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
  2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
  3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
  4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
  5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
  6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
  7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
  8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
  9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
  10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
  11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
  12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
  13. Hari pertama Allah menciptakan alam.
  14. Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
  15. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
  16. Allah menjadikan 'Arasy.
  17. Allah menjadikan Luh Mahfuz.
  18. Allah menjadikan alam.
  19. Allah menjadikan Malaikat Jibril.
  20. Nabi Isa diangkat ke langit.

Manfaatkan Kelebihan Bulan Muharram...

Bulan Muharram adalah salah satu daripada bulan agung di dalam kalendar Islam. Beberapa peristiwa penting berlaku di dalam bulan ini. Kehadiran bulan Muharram sebaiknya kita mengambil manfaat sebaik mungkin kerana bulan ini mempunyai banyak kelebihannya.

Terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian dalam beribadat dalam bulan ini seperti melakukan perubahan ke arah kebaikan (berhijrah). Hijrah di sini dengan maksud berubah daripada melakukan kejahatan kepada kebaikan, daripada berakhlak buruk kepada berakhlak mulia dan daripada tidak bertakwa kepada bertakwa. Hijrah juga berubah dari baik kepada lebih baik, dari suka beramal kepada kuat beramal dan sebagainya sepertimana kita disaran untuk menambah ketakwaan kepada Allah dari masa ke semasa. Sambutan Ma’al Hijrah yang diadakan dengan penuh semangat dan pelbagai acara akan menjadi sia-sia dan tidak berfaedah sekiranya ia tidak disusuli dengan perubahan sikap dalam diri setiap individu muslim ke arah yang lebih baik.

Sabda Nabi saw : “Orang yang melakukan hijrah yang sebenar ialah yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah”. ( Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Antara lain kelebihan bulan Muharram adalah dengan amalan puasa sunat. Bulan Muharram merupakan salah satu daripada bulan-bulan haram. Berpuasa pada bulan ini pada dasarnya dijanjikan dengan pahala yang besar. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : “Puasa yang paling utama selepas Ramadhan ialah bulan Allah, Muharram dan solat yang paling utama selepas fardu ialah ialah solat malam”. (Riwayat Imam Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, Baihaqi, Ahmad)

Hadis ini dengan jelas menyatakan keutamaan berpuasa pada bulan Muharram berbanding bulan-bulan lain selain Ramadhan. Hadis ini juga menjadi hujah bahawa kita digalakkan berpuasa sunat pada bulan Muharram lebih banyak berbanding bulan-bulan lain.

Puasa bulan Muharram lebih lagi digalakkan pada hari ’Asyura iaitu pada 10 Muharram sebagaimana sabda Rasulullah saw, hadis riwayat Muawiyah ra berkata : Aku mendengar Nabi bersabda : Hari ini adalah hari ‘Asyura tidaklah wajib kamu berpuasa tetapi saya berpuasa. Maka sesiapa yang mahu ia boleh berpuasa dan sesiapa yang tidak mahu ia boleh berbuka. (Imam al-Bukhari dan Muslim)

Galakan berpuasa pada hari ‘Asyura ini juga berdasarkan hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim bahawa Ibn Abbas berkata : “Aku tidak melihat Rasulullah saw mengutamakan hari puasa yang dilebihkan atas hari lain kecuali hari ini, iaitu hari ‘Asyura dan bulan Ramadhan”.
Berpuasa pada hari tersebut juga akan mendapat keampunan dosa setahun yang lalu sebagaimana hadis riwayat Abu Qatadah berkata bahawa Baginda saw ditanya tentang puasa ‘Asyura. Baginda menjawab : “Ia menghapuskan (dosa) setahun yang lepas”. (Riwayat Imam Muslim dan Imam al-Tirmizi)

Terdapat sebahagian ulama’ yang berpendapat puasa pada hari ‘Asyura ini hendaklah dilakukan bersama sehari sebelumnya iaitu dinamakan juga dengan hari Tasu’a (hari ke sembilan). Ini berdasarkan hadis Ibn Abbas ra : “Ketika Rasulullah saw berpuasa pada hari ‘Asyura dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa, mereka berkata: Wahai Rasulullah saw, sesungguhnya hari itu adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi. Maka Nabi saw bersabda: “Sekiranya aku masih hidup tahun hadapan, tentu aku akan berpuasa pada hari kesembilan”. (Riwayat Imam Muslim)

Imam al-Nawawi (w 676) dalam menghuraikan hadis-hadis ini telah menukilkan pendapat Imam al-Syafie dan ulama’ di dalam mazhabnya, Imam Ahmad, Ishak dan yang lain-lain bahawa mereka semua ini berpendapat bahawa disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan hari ke-10, kerana Nabi saw berpuasa pada hari ke-10 (‘Asyura) dan berniat untuk berpuasa pada hari ke-9 (tahun berikutnya). Imam al-Nawawi menyambung lagi: “Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa kemungkinan sebab digalakkan berpuasa pada hari ke-9 dengan hari ke-10 ialah supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10″.
(Rujuk: al-Minhaj syarh Sahih Muslim, Bab al-Siyam, (Beirut: Dar al-Ma’rifah , cet.7, 2000), jil 4, hal. 254)

Justeru, marilah kita merebut peluang dikesempatan bulan yang mulia ini untuk menambahkan amalan kita dengan berpuasa sunat.
Antara hadis-hadis lain berkenaan puasa sunat hari ‘Asyura ialah :
  1. Ibn ‘Abbas meriwayatkan yang bermaksud: “Apabila Nabi saw datang ke Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, lalu Baginda bertanya: “Apakah ini?” Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa”. Lalu Baginda saw bersabda: “Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu”, maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa“. (Riwayat al-Bukhari)
  2. A’isyah r.a berkata (maksudnya): “Rasulullah saw telah mengarahkan supaya berpuasa pada hari A’syura, dan apabila telah difardhukan puasa Ramadhan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari A’syura) maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang hendak berbuka maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa)”. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).
  3. Daripada ‘Aisyah r.a berkata yang bermaksud: “Orang-orang Quraish di zaman jahiliyah berpuasa pada hari ‘Asyura, dan Rasulullah saw juga berpuasa pada hari A’syura. Maka apabila Baginda datang ke Madinah, Baginda berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang ramai berpuasa. Apabila difardhukan kewajipan puasa Ramadhan, ditinggalkan puasa pada hari ‘Asyura lalu Baginda bersabda: “Sesiapa yang mahu, maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh tinggalkannya”. (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Inilah beberapa contoh hadis sahih yang menyebut tentang puasa pada hari ‘Asyura. Daripada hadis-hadis ini dapat difahami bahawa puasa pada hari ‘Asyura merupakan suatu perkara yang wajib sebelum difardhukan puasa Ramadhan. Apabila difardhukan puasa Ramadhan pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini telah gugur. Namun ianya tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut. Inilah di antara kesimpulan yang disebut oleh al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani (w 852) dan al-Imam Muslim (w 676) ketika menghuraikan hadis-hadis tentang puasa ‘Asyura ini.

(Rujuk Fath al-Bari, Kitab al-Saum, Bab Siyam Yaum ‘Asyura, 4/309, dan al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Bab Saum Yaum ‘Asyura‘ 4/245)

Muharram


Muharram (محرّم) adalah bulan pertama dalam Sistem Takwim Hijrah (Hijriah). Pada asasnya, Muharram membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91).
Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan. Rasulullah s.a.w telah menamakan bulan Muharram sebagai bulan Allah (shahrullahi).
Sandaran yang dilakukan oleh Baginda s.a.w kepada Allah s.w.t lantaran kemuliaan dan kelebihan bulan ini kerana sesungguhnya Allah s.w.t tidak merujukkan kepadaNya melainkan oleh golongan khowas (terkhas) di kalangan makhluk - makhlukNya.
Daripada Al-Hassan Al-Basri rahimahumullah sesungguhnya Allah s.w.t telah membuka lembaran tahun baru di dalam takwim Islam dengan bulan Muharram. Tidaklah kedapatan bulan yang lebih mulia dalam takwim Islam di sisi Allah s.w.t itu selepas bulan Ramadhan melainkan bulan Muharram. Ia dinamakan bulan Allah yang khas disebabkan besarnya kehormatannya.