Kan Ku terus mengatur langkah mencari CintaMu...

Thursday, December 9, 2010

Manfaatkan Kelebihan Bulan Muharram...

Bulan Muharram adalah salah satu daripada bulan agung di dalam kalendar Islam. Beberapa peristiwa penting berlaku di dalam bulan ini. Kehadiran bulan Muharram sebaiknya kita mengambil manfaat sebaik mungkin kerana bulan ini mempunyai banyak kelebihannya.

Terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian dalam beribadat dalam bulan ini seperti melakukan perubahan ke arah kebaikan (berhijrah). Hijrah di sini dengan maksud berubah daripada melakukan kejahatan kepada kebaikan, daripada berakhlak buruk kepada berakhlak mulia dan daripada tidak bertakwa kepada bertakwa. Hijrah juga berubah dari baik kepada lebih baik, dari suka beramal kepada kuat beramal dan sebagainya sepertimana kita disaran untuk menambah ketakwaan kepada Allah dari masa ke semasa. Sambutan Ma’al Hijrah yang diadakan dengan penuh semangat dan pelbagai acara akan menjadi sia-sia dan tidak berfaedah sekiranya ia tidak disusuli dengan perubahan sikap dalam diri setiap individu muslim ke arah yang lebih baik.

Sabda Nabi saw : “Orang yang melakukan hijrah yang sebenar ialah yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah”. ( Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Antara lain kelebihan bulan Muharram adalah dengan amalan puasa sunat. Bulan Muharram merupakan salah satu daripada bulan-bulan haram. Berpuasa pada bulan ini pada dasarnya dijanjikan dengan pahala yang besar. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : “Puasa yang paling utama selepas Ramadhan ialah bulan Allah, Muharram dan solat yang paling utama selepas fardu ialah ialah solat malam”. (Riwayat Imam Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, Baihaqi, Ahmad)

Hadis ini dengan jelas menyatakan keutamaan berpuasa pada bulan Muharram berbanding bulan-bulan lain selain Ramadhan. Hadis ini juga menjadi hujah bahawa kita digalakkan berpuasa sunat pada bulan Muharram lebih banyak berbanding bulan-bulan lain.

Puasa bulan Muharram lebih lagi digalakkan pada hari ’Asyura iaitu pada 10 Muharram sebagaimana sabda Rasulullah saw, hadis riwayat Muawiyah ra berkata : Aku mendengar Nabi bersabda : Hari ini adalah hari ‘Asyura tidaklah wajib kamu berpuasa tetapi saya berpuasa. Maka sesiapa yang mahu ia boleh berpuasa dan sesiapa yang tidak mahu ia boleh berbuka. (Imam al-Bukhari dan Muslim)

Galakan berpuasa pada hari ‘Asyura ini juga berdasarkan hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim bahawa Ibn Abbas berkata : “Aku tidak melihat Rasulullah saw mengutamakan hari puasa yang dilebihkan atas hari lain kecuali hari ini, iaitu hari ‘Asyura dan bulan Ramadhan”.
Berpuasa pada hari tersebut juga akan mendapat keampunan dosa setahun yang lalu sebagaimana hadis riwayat Abu Qatadah berkata bahawa Baginda saw ditanya tentang puasa ‘Asyura. Baginda menjawab : “Ia menghapuskan (dosa) setahun yang lepas”. (Riwayat Imam Muslim dan Imam al-Tirmizi)

Terdapat sebahagian ulama’ yang berpendapat puasa pada hari ‘Asyura ini hendaklah dilakukan bersama sehari sebelumnya iaitu dinamakan juga dengan hari Tasu’a (hari ke sembilan). Ini berdasarkan hadis Ibn Abbas ra : “Ketika Rasulullah saw berpuasa pada hari ‘Asyura dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa, mereka berkata: Wahai Rasulullah saw, sesungguhnya hari itu adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi. Maka Nabi saw bersabda: “Sekiranya aku masih hidup tahun hadapan, tentu aku akan berpuasa pada hari kesembilan”. (Riwayat Imam Muslim)

Imam al-Nawawi (w 676) dalam menghuraikan hadis-hadis ini telah menukilkan pendapat Imam al-Syafie dan ulama’ di dalam mazhabnya, Imam Ahmad, Ishak dan yang lain-lain bahawa mereka semua ini berpendapat bahawa disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan hari ke-10, kerana Nabi saw berpuasa pada hari ke-10 (‘Asyura) dan berniat untuk berpuasa pada hari ke-9 (tahun berikutnya). Imam al-Nawawi menyambung lagi: “Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa kemungkinan sebab digalakkan berpuasa pada hari ke-9 dengan hari ke-10 ialah supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10″.
(Rujuk: al-Minhaj syarh Sahih Muslim, Bab al-Siyam, (Beirut: Dar al-Ma’rifah , cet.7, 2000), jil 4, hal. 254)

Justeru, marilah kita merebut peluang dikesempatan bulan yang mulia ini untuk menambahkan amalan kita dengan berpuasa sunat.
Antara hadis-hadis lain berkenaan puasa sunat hari ‘Asyura ialah :
  1. Ibn ‘Abbas meriwayatkan yang bermaksud: “Apabila Nabi saw datang ke Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, lalu Baginda bertanya: “Apakah ini?” Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa”. Lalu Baginda saw bersabda: “Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu”, maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa“. (Riwayat al-Bukhari)
  2. A’isyah r.a berkata (maksudnya): “Rasulullah saw telah mengarahkan supaya berpuasa pada hari A’syura, dan apabila telah difardhukan puasa Ramadhan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari A’syura) maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang hendak berbuka maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa)”. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).
  3. Daripada ‘Aisyah r.a berkata yang bermaksud: “Orang-orang Quraish di zaman jahiliyah berpuasa pada hari ‘Asyura, dan Rasulullah saw juga berpuasa pada hari A’syura. Maka apabila Baginda datang ke Madinah, Baginda berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang ramai berpuasa. Apabila difardhukan kewajipan puasa Ramadhan, ditinggalkan puasa pada hari ‘Asyura lalu Baginda bersabda: “Sesiapa yang mahu, maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh tinggalkannya”. (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Inilah beberapa contoh hadis sahih yang menyebut tentang puasa pada hari ‘Asyura. Daripada hadis-hadis ini dapat difahami bahawa puasa pada hari ‘Asyura merupakan suatu perkara yang wajib sebelum difardhukan puasa Ramadhan. Apabila difardhukan puasa Ramadhan pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini telah gugur. Namun ianya tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut. Inilah di antara kesimpulan yang disebut oleh al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani (w 852) dan al-Imam Muslim (w 676) ketika menghuraikan hadis-hadis tentang puasa ‘Asyura ini.

(Rujuk Fath al-Bari, Kitab al-Saum, Bab Siyam Yaum ‘Asyura, 4/309, dan al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Bab Saum Yaum ‘Asyura‘ 4/245)

No comments:

Post a Comment