Suluhan pada menyempurnakan separuh agama bermula dengan mencari pasangan untuk dijadikan bakal suami dan isteri, merisik, melamar, dan seterusnya mengikat janji setia hidup bersama secara sah. Tiada siapa yang dapat menghalang sang mempelai melayari bahtera pertama mereka di malam hari. Inilah petanda mereka halal di sisi syarak.
Memegang, memimpin tangan, mengusap, mengucup dan memeluk, tiada siapa yang berhak menghalang. Gelodakan hawa nafsu yang ditahan sekian lama, dibayar tanpa bersyarat pada sentuhan halal itu. Islam tidak pernah menyisih umatnya dalam soal sosial hidup (muamalat), bahkan dari semudah sentuhan tersebut, sungguh senang untuk menghasilkan pahala ibadah.
Tidak perlu timbul keraguan perihal pasangan masing-masing yang telah dipatri;
“Apakah betul pilihan aku ini? Apakah cinta aku benar-benar kerana takwa kepada Allah Taala, atau hanya pandangan nafsu semata-mata?”
Selepas usai lafaz ‘aku terima nikahnya’, maka dua pasangan tadi telah dibebani dengan suatu tanggungjawab yang luar biasa. Tiada lagi timbul keraguan dalam soal memberi cinta kepada sang kekasih yang telah sah menjadi pungguk dan bulan. Semua yang telah terjadi adalah takdir yang perlu disyukuri bukan mengeluh pada ketentuan-Nya. Kesempurnaan pada nilaian kaca mata disyukuri, manakala kekurangan yang ada diredhai.
Anda tahu, mungkin mustahil seseorang itu memiliki pasangan seperti apa yang diharapkan di atas tikar sejadah, pada sebuah doa seperti ini dan itu. Tapi itulah takdir anda, terima seadanya, tidak perlu lagi pening memikirkannya, lantas mengurangi moral pada tanggungjawab yang semakin bertambah. Fikirlah bagaimana pula ingin melahirkan bintang-bintang bersinar dari benih diri, menghiasi malam-malam indah.
Kita pernah melihat dengan mata kepala bagaimana banyak hubungan suami isteri berada pada ambang penceraian. Tertanya-tanya dimanakah punca, di manakah pula penawar? Kadang kala kita serabut cuba mencari di manakah puncanya, hingga lupa untuk mencari penawar.Sebenarnya persoalan kembali kepada perkara yang paling akar, tetapi itu juga seringkali terlepas pandang, tentang cinta yang bersulamkan takwa.
Benar kita ada institusi intelektual yang perlu dipertahankan, tetapi jangan juga terlupa kini semakin banyak institusi keluarga dan cinta yang menanti rebah, semuanya perlukan dos-dos ubatan. Pembentukan keluarga Islam yang bertakwa penting dalam proses menguatkan masyarakat Islam. Keluarga-keluarga kecil yang bertakwa ini bila dikumpul dapat membentuk masyarakat Islam yang pastinya bertakwa.
www.iluvislam.com
No comments:
Post a Comment