Pada saat usia mencecah alam dewasa,
pastinya persoalan jodoh merupakan salah satu perkara yang amat
mengusutkan fikiran kita. Soalan-soalan yang dilontarkan oleh insan
sekeliling biarpun secara gurauan terasa sangat menyentap perasaan. Bila
berseorangan, kita rasa kurang keyakinan, rasa serba kekurangan, malu
dan tertekan...
Ketika berkumpul bersama kawan-kawan,
ramai antara mereka yang sudah menimang cahaya mata, sedangkan kita
hanya mampu memandang dan bermonolog dalam hati, "Bilakah waktunya untuk
aku mengalaminya juga..." Hati rasa lebih tersentuh apabila ibu dan
ayah kita memeluk dan mencium anak orang lain. Kita faham itu petandanya
mereka sangat mendambakan cucu mereka sendiri...
Tapi itu semua kehendak Allah, bukan
kehendak kita. Tiada siapa pun dalam dunia ini yang mahu hidup
berseorangan. Namun kita harus akur dengan takdir Allah yang masih belum
mengizinkan kita untuk bertemu jodoh. Kita harus berikhtiar, bersabar
dan jangan sesekali berputus asa. Kerana jodoh itu rahsia Allah. Bila,
siapa, di mana dan bagaimana, itu semua hanya Allah yang Maha
Mengetahui.
Dalam menghadapi saat ini, usahlah
diturutkan sangat dengan tekanan perasaan dek sindiran insan sekeliling.
Tapi cubalah ikhtiar dan muhasabah diri kita. Adakah sudah cukup usaha
dan ikhtiar kita dalam mencari jodoh? Adakah kita pernah minta pada
Allah supaya diringankan jodoh pada setiap kali sujud kepadaNya? Berapa
kali kita bangun dan bersolat hajat pada malam hari memohon
dipermudahkan jodoh? Pernahkah kita solat sunat Dhuha, memohon limpahan
rezeki berupa jodoh yang baik dan keluarga yang sakinah? Berapa kali
kita solat taubat, memohon keampunan agar doa kita untuk mendapat jodoh
tidak terhalang disebabkan dosa-dosa silam kita? Dan cukupkah ikhtiar
kita dengan solat istikharah agar tidak terburu-buru membuat keputusan
dan pilihan hanya kerana terdesak?
Selain itu, cuba kita muhasabah diri kita.
Adakah ikhtiar kita selama ini menepati syariat yang digariskan oleh
Allah? Adakah kita sudah menahan diri daripada bergaul bebas dengan
mereka yang bukan mahram? Adakah kita sudah menjaga diri daripada
berhias berlebih-lebihan hanya untuk menarik perhatian kaum lelaki?
Seandainya sudah menepati syariat tapi masih gagal, redha dan yakinlah
bahawa Allah telah merancang yang terbaik buat kita. Teruskan usaha dan
bersabarlah...
Namun di sebalik ikhtiar dan kesabaran,
kita juga haruslah mengkaji apakah hikmahnya ujian Allah terhadap kita
yang lambat jodoh. Mungkin kita hanya memandang kelebihan orang yang
cepat jodoh; dapat menjadi ibu dan bapa lebih awal dan dapat
melaksanakan sunnah lebih awal. Tapi sedarkah kita yang lambat jodoh
masih juga punya kelebihan? Saat inilah masanya untuk kita berbakti
kepada ibu bapa kita. Bila kita sudah berumahtangga, keadaan mungkin
berbeza kerana terpaksa membahagi masa untuk keluarga sendiri dan juga
untuk ibu bapa. Saat ini jugalah masanya untuk kita menimba ilmu
sebanyak-banyaknya. Dalami ilmu agama, ilmu untuk menguruskan
rumahtangga dan ilmu untuk mendidik anak-anak agar kita lebih bersedia
apabila tiba saatnya nanti.
Akhir sekali, usahlah bersedih hati.
Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Jaga iman dan hati agar tidak tertipu
dengan hasutan nafsu. Jaga maruah seorang wanita; jangan sampai
nasibnya menjadi seperti epal yang masak ranum di puncak pohon, tapi
akhirnya gugur ke bumi lalu membusuk dan tidak berguna hanya kerana
tiada yang sudi memetiknya...